KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah mencatat pencapaian bersejarah pada tahun 2025 apabila merekodkan jumlah keuntungan sebelum cukai sebanyak RM683 juta meningkat 17 peratus berbanding RM586 juta pada tahun sebelumnya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Di peringkat syarikat pula, Innoprise Corporation Sdn Bhd (cabang pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah) telah mencatat keuntungan sebelum cukai RM243 juta, meningkat 35 peratus berbanding tahun sebelumnya (RM179 juta) dan juga merupakan rekod keuntungan ICSB yang paling tinggi dalam sejarah syarikat.
“Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa keupayaan pengurusan, serta komitmen seluruh pasukan telah menghasilkan prestasi yang sangat cemerlang. Syabas saya ucapkan,” katanya pada Malam Anugerah Yayasan Sabah di Pusat Konvensyen Kota Kinabalu (SICC) di sini malam ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri/Menteri Kerja Raya dan Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata pada tahun 2025, ICSB telah mengisytiharkan dividen berjumlah RM160 juta, meningkat tujuh peratus berbanding RM150 juta pada tahun 2024.
“Pencapaian ini merupakan rekod pembayaran dividen tertinggi dalam sejarah ICSB. Pada masa yang sama, ICSB kekal sebagai GLC Sabah yang membayar dividen tertinggi di negeri ini bagi lima tahun berturut-turut. Kita optimis bahawa prestasi ini akan terus melonjak pada tahun 2026, selaras dengan prestasi kewangan yang kukuh dan prospek perniagaan yang positif,” katanya.
Menurutnya, kejayaan ini digerakkan oleh kekuatan pelbagai sektor dalam Kumpulan termasuk sektor agro-perladangan yang terus menjadi penyumbang terbesar dengan keuntungan gabungan RM323 juta, sekali gus kekal sebagai tonggak utama pendapatan kumpulan.
Manakala, sektor pelancongan dan riadah pula mencatat keuntungan sebanyak RM65 juta, mencerminkan perkembangan positif industri pelancongan Sabah.
“Lebih membanggakan, sektor minyak, gas dan tenaga menunjukkan lonjakan yang amat ketara dengan keuntungan RM40 juta, berbanding hanya RM0.07 juta pada tahun 2024,” katanya.
Ketua Menteri berkata peranan Kumpulan Yayasan Sabah dalam meningkatkan ekonomi negeri dan memberi sumbangan kepada masyarakat, amat penting.
“Sebagai jentera strategik Kerajaan Negeri, saya juga berasa bangga kerana Kumpulan Yayasan Sabah terus cekal dalam memacu pelbagai program berimpak tinggi seperti pendidikan, pembangunan modal insan, sosioekonomi, konservasi dan penyelidikan.
Ini sejajar dengan misi penubuhannya untuk terus menjadi nadi pembangunan pendidikan dan sosial, bermula dari peringkat rendah hinggalah ke peringkat universiti kolej,” katanya.
Katanya, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang juga merupakan inisiatif dalam Pelan Strategik Transformasi Kumpulan Yayasan Sabah, telah membuktikan keberkesanannya dengan memberi manfaat kepada 15,629 orang pelajar melibatkan dana sebanyak RM25.1 juta.
“Sementara itu, usaha agresif kutipan pinjaman pada tahun 2025 adalah sebanyak RM 8.03 juta, tertinggi sejak Yayasan Sabah ditubuhkan.
“Pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 22.4 peratus daripada RM6.6 juta yang merupakan kutipan tertinggi sebelum ini. Gandingan kutipan bayaran balik pinjaman dan TPNS telah membantu menyediakan dana untuk memenuhi komitmen pendidikan Kumpulan Yayasan Sabah,” kata Hajiji.
Beliau berkata dalam pelaksanaan program-program sosial dan pembangunan masyarakat, sebanyak 613 program telah berjaya dilaksanakan melalui enam Pejabat Zon dengan kadar pencapaian 100 peratus, memberi manfaat kepada 78,648 orang penerima melalui peruntukan sebanyak RM4.26 juta.
Seiring dengan komitmen kerajaan terhadap agenda pendidikan di negeri ini, Ketua Menteri berkata University College Sabah Foundation (UCSF), badan pengajian tinggi milik penuh Kumpulan Yayasan Sabah, turut mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan enrolmen melebihi 1,100 orang pelajar, selain memperkenalkan kursus-kursus inovatif bermula tahun 2025.
“UCSF juga kini aktif membina jambatan antarabangsa melalui kerjasama dengan universiti dari Brunei Darussalam, Bosnia, Turki, Azerbaijan, Indonesia, Filipina dan United Kingdom,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) pula telah menerima mandat daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) berjumlah RM1.2 juta untuk melatih 460 orang peserta di bawah Program Khas Anak Negeri (PKAN).
Dua projek baharu iaitu Projek Rintis Akademik Sekolah Menengah dan Gerakan Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU) juga turut diperkenalkan.
Hajiji turut berbangga menyaksikan komitmen pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah dalam menjaga khazanah alam negeri ini.
“Kolaborasi bersama Preferred by Nature (PbN), Denmark bagi Pelan Pengurusan Strategik ke- 3 Kawasan Konservasi Lembangan Maliau menunjukkan keseriusan Kumpulan Yayasan Sabah dalam menjaga khazanah alam demi generasi masa hadapan.
“Kumpulan Yayasan Sabah juga berusaha untuk memperbaiki pengurusan ekopelancongan dengan kerjasama daripada pelbagai kawasan perlindungan taman di seluruh Malaysia,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Hajiji berkata Kumpulan Yayasan Sabah sebagai badan berkanun negeri dan anak-anak syarikat Kumpulan harus terus berusaha keras dan sedaya upaya untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri serta komited dalam memenuhi tuntutan semua pihak berkepentingan.
Sempena dengan Ulang Tahun ke-60 pada 10 Mei tahun ini, Hajiji menyeru agar Yayasan Sabah terus menjadi pelopor dalam melahirkan modal insan berilmu, berintegriti, dan berkemahiran tinggi.
“Saya juga mengharapkan Kumpulan Yayasan Sabah terus inovatif dan relevan dengan arus pembangunan moden serta bersama-sama dalam menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.-pr/BNN





