UPKO memperjuangkan hak rakyat Sabah-Ewon

0
330
Ewon menerima borang keahlian Upko Kota Belud daripada Setiausaha Kerja, Romie Deukin.

KOTA BELUD: Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) akan terus memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah seperti yang terkandung dalam perjanjian Malaysia.

Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ketua Bahagian Upko Kota Belud Ewon Benedick berkata, perjuangan itu bukan hanya menyentuh kepada autonomi pentadbiran negeri Sabah, tetapi juga tentang pemilikan hasil daripada sumber asli Sabah seperti royalti dan cukai yang dipungut daripada Sabah.

“Saya ingin memaklumkan kepada semua ahli UPKO Kota Belud bahawa Datuk Madius (Timbalan Ketua Menteri merangkap Pemangku Presiden Upko Datuk Madius Tangau) bersama-sama dengan Ketua Menteri (Datuk Seri Shafie Apdal)  dan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak  Negeri Sabah menjadi ahli jawatankuasa khas yang merumuskan tuntutan royalti dan cukai yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Tritahunan Upko Bahagian Kota Belud, di Dewan Kompleks Sukan Kota Belud, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, Upko akan terus konsisten memperjuangkan penyelesaian tuntas isu-isu besar yang menjadi keprihatinan utama parti itu dengan menggunakan semua platform kerajaan seperti mesyuarat kabinet, sidang parlimen dan dewan undangan negeri.

Beliau berkata antara lain isu-isu besar yang akan terus diperjuangkan ialah pemilikan tanah anak negeri dan tanah adat.

“Masih banyak permohonan tanah yang belum diproses akibat pelbagai sebab. Dalam masa yang sama, banyak lagi perkampungan orang kita yang terperangkap dalam kawasan hutan simpan atau kawasan konsesi syarikat.

“Kita menghargai komitmen Ketua Menteri dalam menghapuskan pengeluaran geran komunal dengan memberikan setiap pemiliknya geran persendirian supaya mereka dapat membangunkan kawasan tanah sendiri mengikut acuan mereka,” katanya.

Mengenai isu pendatang asing tanpa izin (PATI)  yang turut mencetuskan keresahan rakyat tempatan negeri ini, Ewon berkata, ia juga ia akan terus diambil perhatian serius.

“Datuk Madius sentiasa membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat kabinet dan barisan jemaah menteri negeri dan Ketua Menteri telahpun memberi jaminan tidak akan ada kad pengenalan dikeluarkan kepada pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Oleh itu beliau berharap semua pihak termasuk anggota Upko akan menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah kepada isu-isu besar itu.

“Saya menyarankan semua ahli UPKO supaya setidak-tidaknya memiliki sesalinan buku Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia dan Laporan Suruhanjaya Cobbold untuk menyelami semangat patriotik dan perjuangan kita terhadap urustadbir negara ini.

“Saya juga berharap para pemilik tanah adat dan tanah anak negeri akan terus mengusahakan tanah-tanah milik mereka sepenuhnya dengan mempelbagai aktiviti ekonomi.

“Dalam masa yang sama, kita juga harus memastikan semua kawasan tanah, rumah dan perusahaan kita bebas daripada pendatang asing tanpa izin. Kalau tanah, rumah dan perusahaan kita bebas daripada kehadiran PATI, saya amat yakin kampung, daerah dan negeri kita ini boleh bebas daripada masalah ini,” katanya.-pr/BNN