PUTATAN: Seramai 15 orang kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan telah diraikan oleh Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Negeri Sabah menerusi “Program Back To School”.

Kanak-kanak itu telah dibawa membeli barang-barang keperluan sekolah di Pasaraya Servay Putatan.

Timbalan Ketua Wanita Amanah Sabah, Puan Norfidah @ Fie Yassin berkata, kanak-kanak yang dibantu itu daripada keluarga kurang mampu dan ibu tunggal.

“Program Back To School diadakan bertujuan membantu meringankan beban keluarga mereka menjelang pembukaan sekolah pada awal Januari 2020.

“Selalunya ibu bapa agak terbeban dengan keperluan membeli barang-barang keperluan sekolah seperti baju dan kasut sekolah, baju sukan, buku-buku latihan dan lain-lain.

“Dengan bantuan daripada AWAN, kita berbesar hati membantu kanak-kanak tersebut yang sekaligus dapat mengurangkan beban ibu bapa mereka”, katanya ketika ditemui semasa mengetuai program itu, hari ini.

Selain Norfidah, Jawatankuasa AWAN Sabah yang turut serta menjayakan program itu ialah Naib Ketua AWAN Sabah, Puan Mahira Bahar, Bendahari, Puan Sakinah Marsus dan Penolong Setiausaha AWAN Sabah, Cik Masrah Licson.-pr/BNN