KOTA KINABALU: Teguran Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Dato’ Saifuddin Abdullah yang mengingatkan gabungan itu agar tidak membangkit semula tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri (PM), harus menjadi iktibar kepada pemimpin dan Wakil-Wakil Rakyat PH.
Ketua Perhubungan Awam kepada Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Abdul Rashid Abd.Rahman, Brig.Jen (K) Dato Jerry Ambuting Haji Mohd.Said berkata, gesaan Saifuddin agar gabungan itu memberikan fokus yang penuh pada pelaksanaan manifestonya amat tepat pada masanya.
“Pemimpin dan ahli gabungan PH wajar memberi fokus kepada pelaksanaan manifesto Buku Harapan yang telah dibawa oleh PH semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14.
“Rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap Kerajaan PH untuk menunaikan janji-janjinya dalam manifestor PH, walaupun mungkin perlu mengambil masa untuk merealisasikannya”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Saifuddin yang menegaskan gabungan itu memberikan fokus yang penuh pada pelaksanaan manifestonya, bukan membangkitkan semula isu tarikh peralihan kuasa perdana menteri.
Kenyataan itu hadir hanya beberapa jam selepas Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa kepemimpinan PH menetapkan tarikh peralihan kuasa PM kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, pada Mei ini demi kebaikan negara.
Kenyataan Nik Nazmi itu dikatakan selari dengan beberapa laporan sebelum ini yang mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasanya kepada Anwar selepas dua tahun memegang jawatan.
“Saya bersetuju bahawa kita perlu melaksanakan dan menunaikan manifesto PH,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, sepanjang tempoh 20 bulan lalu, pelbagai usaha digerakkan untuk memenuhi janji yang termaktub dalam Buku Harapan, termasuklah penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan Manifesto pada 8 Julai 2019 yang dipengerusikan Senator Liew Chin Tong.
Mengulas tentang peralihan kuasa, Saifuddin berkata, meskipun wujud permuafakatan PH pada 6 Jan 2018 untuk mengangkat Anwar sebagai perdana menteri kelapan, tarikh peralihan tidak ada dinyatakan secara muktamad.
“Justeru itu, tarikh peralihan kuasa PM pada Mei 2020 tidak timbul sama sekali.
“Sebarang soal peralihan kuasa harus dikembalikan kepada Majlis Presiden PH untuk dibincang dan ditentukan,” katanya.
Memetik kenyataan dibuat Mahathir pada 10 Dis 2019, Saifuddin menambah, sekiranya isu peralihan kuasa masih ingin ditimbulkan, ia akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) pada hujung tahun ini.
Pada 10 Disember, Mahathir berkata beliau tidak akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar sebelum sidang kemuncak Apec 2020 yang akan dianjur oleh Malaysia November tahun ini.
Pada masa sama terdapat gesaan daripada beberapa pihak, termasuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, supaya Mahathir terus menjadi perdana menteri sehingga habis penggal.
Jerry Ambuting berkata, sebarang desakan daripada pemimpin gabungan PH agar PM berundur hanya akan merugikan negara.
“Desakan demikian tidak patut berlaku dalam keadaan negara masih memerlukan kepemimpinan Tun Dr. Mahathir untuk terus mengemudi negara”, katanya.-pr/BNN