Bilangan MPKK ditambah-Ewon

0
34
Ewon bergambar bersama sebahagian daripada pengerusi MPKK yang menerima watikah pelantikan, pada majlis itu.

MATUNGGONG: Bilangan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sabah akan ditambah pada tahun ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, Kerajaan Sabah telah bersetuju supaya bilangan MPKK ditambah mengikut keperluan sebenar.

“Pada masa ini, terdapat 2,853 MPKK di seluruh Sabah. Bagaimanapun, terdapat Pengerusi MPKK yang menjaga sehingga tiga buah kampung kerana tiada penambahan atau pengujudan kouta perjawatan tambahan JKKK sebelum ini.

“Justeru, Kabinet telah bersetuju terhadap semakan keperluan sebenar urustadbir kampung ini supaya perjawatan ini ditambah berdasarkan keperluan 1 kampung, 1 MPKK,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan MPKK bagi kawasan DUN Matunggong pada Jumaat.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, kementeriannya telah memaklumkan kesemua Pejabat Daerah di seluruh Sabah bagi mengenalpasti kampung-kampung yang perlu diwujudkan jawatankuasa MPKK yang baru.

“Saya berharap dapat membentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat jumlah penambahan jawatankuasa MPKK yang baru ini supaya urustadbir kampung menjadi lebih baik apabila dilantik kelak.

“KPLB Sabah akan menyediakan kertas kabinet selepas senarai kampung tersebut diterima daripada pejabat-pejabat daerah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua penerima watikah supaya melaksanakan amanah yang diberi sebaiknya termasuk bekerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan bukan hanya berhubung pembangunan infrastruktur asas tetapi juga keselamatan dan keharmonian kampung.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Rendah KPLB Sabah Majaran Osman, Penolong Pegawai Daerah Matunggong Francis Chong dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Matunggong Barlus Mangabis.-pr/BNN