Terpenting kini bagi semua pihak tidak lagi menempelak bila Tun Mahathir kan serahkan kuasa kepada Datuk Seri (DS) Anwar. Kemukakan dan jawab naratif lama: bagaimana hendak menunaikan janji PR14? Bagaimana politik perut rakyat dapat dijadikan isu utama; bagaimana PTPTN menepati janji PR atau sebahagian komitmen Mei 2018?

Bagaimana tol boleh diolah ke paras munasabah ke arah penghapusannya – rakyat bayar Cukai Jalan berbilion ringgit tapi tol masih dibayar berkadar tinggi; bagaimana keluhuran undang-undang benar-benar dapat dijadikan cara hidup setalian Rukunegara yg banyak terbiar.

Beri Tun M ruangnya dan haknya. Jangan hari-hari tanya bila nak berhenti, bila nak serah jawatan PM. Sejujurnya telitilah Art 43 Perlembagaan Persekutuan atas asas-asas perundangan negara berkaitan jawatan Perdana Menteri.

Datuk Sri Anwar buatlah kerja Ahli Parlimen terbaik dulu, bantu Tun capai kejayaan bersama. Jangan bersenandung lagu lama. Yang sudah-sudahlah. Lagipun Datuk Seri Wan Azizah ialah orang no. 2 dalam Kerajaan. Bantulah Tun M sedaya upaya. Apa-apa berlaku pada Tun M sehari dua ini konvensyen berkata Wan Azizah sebagai TPM memangku dulu jawatan PM. Apa nak dipolemikkan sangat : kalau isteri dah berada di ambang kuasa, suami tak payahlah nampak gelojoh. Mana pernah berlaku dalam dunia ini: dulu diri sendiri yang pegang jawatan TPM. Kini selama hampir 2 tahun isteri tersayang pula menyandang jawatan itu..satu rekod buat Malaysia dan dunia. Tun M pada usia 94 tahun ketua kerajaan paling tua di dunia. Suami isteri wajib bantu beliau dalam kerja kerajaan.

Dalam pada itu Tuanku YDP Agong di bawah Per.40(2) punya kuasa ‘budibicara’ tentang siapa yg harus dilantiknya sebagai PM. Kita kena hormat kuasa ini yang jarang dibincangkan oleh umum. Mahkamah pun belum pernah lagi menimbang secara mendalam kuasa nyata ini. Apa yg boleh berlaku ialah: Tuanku Agong, dalam keadaan kini, boleh menolak sebarang usaha memaksa Baginda berbuat sesuatu (seperti menerima sahaja seseorang calon PM), di bawah 40(2) kerana ” budibicara” atau “discretion” yg ada pada Baginda itu agak luas implikasi kuasa asasnya. Lainlah halnya dalam situasi pasca- pilihanraya umum di mana senario kemenangan sesebuah parti itu menonjolkan suasana menyebelahi seseorang tokoh pemimpin. Anwar bukan terdiri dari produk ini. Beliau adalah produk pengampunan YDP Agong di bawah Art.42(11).

Ada beberapa orang sarjana perlembagaan membangkitkan semasa DSAI diampunkan oleh YDP Agong ke-15, Peguam Negara ketika itu telah berhenti atau diberhentikan justeru Peguamcara Negara yg mewakili beliau bertindak bagi pihak Peguam Negara disangsikan sebagai ultra-virus (bertentangan perlembagaan) lantaran keahlian Lembaga Pengampunan kurang sempurna. Hujah ini walaupun akan ditolak oleh beberapa pihak akan tetap meninggalkan persoalan lantaran kesamaran keanggotaan Lembaga Pengampunan di bawah Per.42(11) dan bentuk nasihat Peguam Negara yang tidak diketahui keluhurannya. Dalam semua sesi pengampunan Raja mesti mempengerusikan. Siapa yang mengemukakan memorandum atau rayuan – Peguam Negara atau pihak lain? Amat elok persoalan ini direzabkan untuk huraian penghakiman.

Di samping mengenal peranan Tuanku Agong dalam menentukan dan melantik seseorang PM yang disalut dengan ‘budibicara’, Baginda juga berhak menidakkan pembubaran Parlimen di bawah 40(2) sekalipun Baginda kena ikut nasihat di bawah Per. 40. Dengan lain pengertian, tak semudah “sorong papan tarik papan” dalam hal menggantikan seseorang PM terutama yang markah pimpinannya berada ditahap yang masih ‘dihormati’ seperti yang dialami Tun Mahathir kini.

Pandangan ini mungkin ‘disailang’ kumpulan DSAI, suatu kemungkinan yang mudah diduga. DSAI faham dilema siapa jadi PM tidak semudah sefer politik yang ada di pihak beliau. Kesabaran yang amat tinggi harus wujud di pihaknya, khas nya anak buah dan pengikut beliau. Kita harus pegang teguh falsafah Melayu “kuat lonjak pesuk kopiah” dan “salah lenggang koyak baju”.

Biar songkok dan baju dalam keadaan baik sementara menunggu peluang keemasan.

Buat kini, biar Tun Mahathir berfungsi dan buat kerja tanpa ganggu-gugat. Jangan lagi ditanya sinis setiap hari “Bila lagi nak undur?

Kepada Tun M harus dilaungkan: Teruskan tugasmu sebagai PM “Tunaikan janji-janji PR-14” kalau tak dapat semua janji, laksanakan yang utama dulu demi Wawasan 2020 dan “Makmur Bersama”.

Elok juga kita ingati satu lagi falsafah Melayu: takkan ayam tak berkokok hari tak siang !!!

Tan Sri Dr. Rais Yatim
Pengerusi Yayasan Budi