Wanita UMNO sedih atas pemergian Adib

0
458
Datuk Dr Noraini Ahmad, Ketua Wanita UMNO Malaysia-brad.erva-doce.info
KOTA KINABALU: Wanita UMNO dan seluruh rakyat Malaysia bersedih atas pemergian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November yang lalu.
Dalam satu kenyataan akhbar oleh Datuk Dr Noraini Ahmad, Ketua Wanita UMNO Malaysia
berkata pemergian Adib amat mengejutkan rakyat Malaysia yang tidak putus-putus berdoa agar beliau selamat selepas 20 hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah di bahagian paru-paru, ekoran dipukul oleh perusuh dalam kejadian tragedi rusuhan kuil berkenaan.
“Wanita UMNO merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Adib yang meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.
Beliau turut mengucapkan takziah  kepada tunang Allahyarham, Nurul Najihah Mohd Radzi yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan dengan Adib pada 22 Disember 2018, iaitu pada Sabtu ini.
“Segala yang berlaku adalah ketentuan Allah. Semoga Nurul Najihah tabah menghadapi dugaan ini. Redhakanlah pemergiannya dan lepaskanlah dia menemui pencipta-Nya,” katanya.
Pada masa yang sama, Wanita UMNO menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara untuk menyempurnakan siasatan terhadap kes Adib.
Rakyat Malaysia difahamkan, kes Adib ini diklasifikasikan oleh polis sebagai kes bunuh dan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
“Sekiranya, terbukti wujudnya elemen jenayah, undang-undang perlu ditegakkan dan mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematian Adib mesti dibawa ke muka pengadilan serta dihukum sekeras-kerasnya,” tegas Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong.-pr/BNN