MEMBAKUT: Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah, termasuk Wakil Rakyatnya kini berkampung di Kimanis bagi membantu kempen calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang.
Pemimpin BERSATU, Encik Yamani Hafez Musa ( tiga dari kiri) bersama Zakaria (empat kiri), Matbali (enam dari kiri) bersama jentera BERSATU di PDM Kampung Brunei.
Mereka bukan sahaja melawat Pejabat BERSATU bahagian Kimanis di Pekan Membakut, malah ke Pusat-Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan Parlimen Kimanis.
Selain melawat dan bermesyuarat bersama jentera BERSATU bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, mereka juga menemui pengundi dan rakyat Kimanis.
Selain Ahli Dewan Undangan  Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kimanis berkempen dari pagi hingga malam, jentera sayap BERSATU terutama Srikandi dan Armada juga giat menganjurkan aktiviti bersama pengundi dan rakyat Parlimen Kimanis.
Wakil Rakyat BERSATU yang lain iaitu Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Hajah Azizah Mohd Dun yang juga Ketua Srikandi Sabah, ADUN Klias, Datuk Isnin Haji Alisnih, Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, ADUN Kawang, Datuk Haji Ghulam Haidarkhan Bahadar, ADUN Lumadan, Encik Matbali Musah, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Mohd.Edris, ADUN Usukan, Datuk Japlin Akim,
Pemimpin dan jentera BERSATU meneruskan tradisi  sentiasa mendampingi rakyat bukan sahaja semasa PRK atau Pilihan Raya Umum (PRU).
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah mengarahkan ahli-ahli dan penyokong BERSATU dalam kawasan Kimanis memberi sokongan sepenuhnya kepada Karim Bujang.
Katanya, mereka perlu berbuat demikian bagi memastikan kemenangan calon Warisan dalam PRK itu.
Menurutnya, Warisan yang menerajui Kerajaan Negeri merupakan kawan kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Kerajaan Persekutuan.
“Memandangkan PH dan Warisan adalah kawan yang akrab, kita mesti tolong.
“Ini tanggungjawab kita sebagai ahli komponen PH. Dalam saat begini (PRK), kita kena tolong kawan kerana calon Warisan ialah kawan kita, kerajaan PH kawan dengan Warisan maka kita kena turun dan berkempen.
“Justeru ahli-ahli dan penyokong BERSATU dalam parlimen Kimanis mesti  menyokong dan mengundi calon Warisan yang bertanding dalam PRK Parlimen Kimanis”, tegas Hajiji Yang juga ADUN Sulaman. -pr/BNN
Pemimpin BERSATU bersama jentera di PDM Bandau membantu kempen calon Warisan.