KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah membatalkan cadangan Kementerian Dalam Negeri KDN untuk melaksanakan  Pas Sementara Sabah (PSS).
Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewn Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri Sabah agar cadangan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) oleh Kementerian Dalam Negeri dibatalkan.

Pengumuman tersebut merupakan hasil keputusan sebulat suara Ahli-Ahli Jemaah Menteri Sabah dalam mesyuarat kabinet hari ini selepas mengambilkira dan menerima pandangan dan input daripada rakyat Sabah, katanya.
“Dalam perbincangan kabinet berkenaan cadangan ini selama ini termasuk mesyuarat hari ini, pendirian dan pandangan saya direkodkan dengan baik dalam minit-minit mesyuarat kabinet.”
Menurut Ewon yang juga Naib Presiden UPKO, masalah pelarian dan masalah pendatang asing tanpa izin masih merupakan masalah nombor satu di Sabah dan memerlukan penyelesaian tuntas.
“Penangkapan dan penghantaran pulang pelarian/pendatang asing harus dilaksanakan dan kiranya mereka mahu mengunjungi Sabah atas faktor ekonomi, mereka harus memiliki pasport antarabangsa dan menghormati undang-undang negara kita,” tegasnya.
Beliau berkata, undang-undang yang berkaitan, kawalan pesisiran pantai dan sempadan negara serta urustadbir berkaitan pelarian masalah pelarian dan pendatang asing tanpa izin harus terus dan perlu diperkasakan.
Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Dalam Negeri harus mencari mekanisme yang boleh diterima oleh rakyat Sabah, katanya lagi.
“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada keputusan untuk membatalkan cadangan pelaksanaan PSS ini.”-BNN