KOTA KINABALU: Terdapat desas-desus usaha pembentukan kerjasama parti politik baru yang dikatakan bakal melibatkan beberapa parti dalam Kerajaan dan beberapa parti dari pihak pembangkang.

Dalam satu Kenyataan akhbar, Dato’ Sri Anifah Haji Aman menyatakan bahawa secara tidak langsung, sekiranya kerjasama tersebut benar-benar termeterai maka ianya boleh menamatkan gabungan Pakatan Harapan sekaligus menukar Kerajaan yang sedia ada.

Mantan ahli Parliament  P176 Kimanis itu berkata  tidak salah menyokong pembentukan kerjasama politik baru ini sekiranya kelebihan kepada rakyat untuk berbuat sedemian.

Apa yang penting adalah para pemimpin politik harus menyedari amanah kekuasaan terletak pada prestasi mereka memperbaiki kualiti hidup rakyat, katanya.

“Sekiranya Kerajaan pada hari ini tidak mampu memberikan prestasi yang diharapkan oleh rakyat maka sewajarnya kerjasama baru dan Kerajaan baru yang lebih cekap dan berwibawa dibentuk dengan segera.”

Beliau berpendapat keputusan tidak di buat dengan terburu-buru dan terdapat beberapa faktor yang harus dipertimbangkan sebelum menyokong atau tidak pembentukan kerjasama politik baru ini.

“Semua pemimpimseharusnya mendahulukan kemahuan rakyat terutama para pemimpin di Sabah. Jangan sampai rakyat Sabah sekali lagi dipermainkan dengan janji-janji manis.”

Sebelum sokongan diberi, para pemimpin dari Sabah perlu mengambil kira dan hanya menyokong sekiranya perkara berikut dilaksanakan dengan serta merta:

·Perjanjian Malaysia 1963 dilaksanakan dengan sepenuhnya tanpa memberikan sebarang alasan lagi mahupun membentuk jawatankuasa-jawatankuasa lagi dengan alasan ingin mengkaji semula sedangkan kita telahpun membuat kajian bahkan cadangan telah diberi sehingga ke peringkat Kabinet bagi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dengan serta merta.
· Royalti Minyak diberikan segera kepada Sabah seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan.
· Masalah Pendatang Tanpa Izin di Sabah diberikan tindakan serta jalan penyelesaian yang serius dan sewajarnya tanpa melengahkan masa lagi.

Sekiranya semua perkara yang disebutkan dilaksanakan maka sudah tentu tidak ada sebab mengapa pembentukan kerjasama politik yang baru ini ditolak.

“Namun hanya jika perkara yang dinyatakan dilaksanakan. Jangan hanya janji manis diberi dan hanya mencari sokongan pemimpin-pemimpin dari Sabah bila perlu sahaja tetapi tidak melaksanakan apa yang dijanjikan. Jangan sampai pisang berbuah dua kali.”-pr/BNN