KOTA KINABALU: Rakyat Malaysia diminta supaya bertenang dan tidak mencetuskan suasana panik dengan berita penularan kes coronavirus yang menjadi perhatian seluruh dunia pada ketika ini.

Ketua Pemuda Parti Amanah Nasional (AMANAH) Encik Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah pun mengambil tindakan awal menangani kes ini mengikut Standard Operational Procedure (SOP) yang digariskan.

“Pemuda AMANAH ingin menasihatkan semua pihak supaya berhubung dengan pihak yang berautoriti untuk mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan isu ini.

“Pada masa yang sama, kita juga perlu bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan berita atau maklumat yang tidak sahih berkaitan isu ini”, katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau berharap semoga keadaan ini dapat dikawal sebaiknya dan Malaysia bebas daripada jangkitan ini.

KKM dalam kenyataannya pada Ahad memaklumkan bahawa sejak 10 Januari 2020 sehingga 26 Januari 2020 jam 12.00 tengah hari, jumlah kumulatif kes Patient-Under Investigation (PUI) jangkitan Novel Coronavirus (2019-nCoV) adalah 23 kes; di mana 14 adalah warganegara Malaysia, lapan warganegara China dan satu warganegara Jordan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah 23 kes PUI ini, terdapat hanya satu kes yang positif 2019-nCoV iaitu seorang lelaki warganegara China berusia 40 tahun.

Sementara itu, 18 kes PUI adalah negatif (12 warganegara Malaysia, 5 warganegara China dan 1 warganegara Jordan) dan telah discaj daripada hospital.

Manakala empat (4) lagi kes PUI ini (2 warganegara Malaysia dan 2 warganegara China) yang diletakkan dalam isolasi di beberapa buah hospital, keputusan makmal mereka akan diketahui dalam masa terdekat.

Sementara itu, daripada 8 orang warganegara China yang merupakan kontak langsung dengan kes positif 2019-nCoV pertama di Singapura, didapati 3 daripadanya adalah positif iaitu seorang wanita berusia 65 tahun dan dua orang kanak-kanak lelaki berusia 2 dan 11 tahun. 5 kes yang negatif telah pun dihantar pulang ke China.

Sementara itu, 17 orang kontak rapat kes positif keempat diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.

Katanya, kesemua empat kes positif dalam keadaan stabil dan sedang dipantau di dalam wad isolasi di hospital-hospital KKM yang telah dikenalpasti sebagai hospital rujukan bagi 2019-nCoV.

“Mengambil kira situasi semasa, KKM terus mempertingkatkan langkah- langkah pencegahan dan kawalan wabak jangkitan penyakit Novel Coronavirus. Kes-kes yang disyaki akan diperiksa dan dirujuk ke hospital untuk pengambilan sampel serta pemantauan perkembangan gejala kes.

“Kes-kes ini dipantau sehingga tamat tempoh inkubasi virus ini iaitu sekurang-kurang 14 hari dari tarikh pendedahan atau berlepas dari negara China. Ia selari dengan Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Prosedur ini dilakukan bagi memastikan pencegahan penularan serta kawalan optima penyakit ini dapat dilaksanakan.

“Mana-mana orang yang tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai diberi kuasa, sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 24(a) Akta yang sama”, tegasnya.-pr/BNN

Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim