KOTA KINABALU:  Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin merupakan pemimpin dan pejuang yang tidak mudah menyerah, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam arena politik.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kinabatangan, Encik Titing Putang berkata,  Bung memiliki semangat juang yang kental dan tinggi.

Katanya, Bung adalah tokoh yang tidak mudah menyerah kalah walaupun dihambat dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam perjuangannya bersama UMNO.

Beliau berkata, selaku Ketua UMNO Sabah,  Bung  bukan sahaja perlu memastikan 25 bahagian UMNO seluruh Sabah dapat berfungsi dengan berkesan, malah UMNO terus relavan di Sabah.

“Beliau diberi kepercayaan menerajui Ketua UMNO Sabah selepas parti itu menghadapi Tsunami  Politik dengan penghijrahan beramai-ramai Wakil Rakyat dan Ketua-Ketua Bahagian UMNO Sabah ke sebuah parti komponan Pakatan Harapan (PH).

“Ketika itu UMNO Sabah menghadapi krisis sokongan apabila ramai ahli UMNO dikatakan meninggal parti dan menyertai parti lain, termasuk beberapa orang Wakil Rakyatnya yang meninggalkan UMNO untuk menyertai Parti Warisan Sabah.

“Namun semua dugaan itu tidak mematahkan semangat juang Bung. Beliau menyusun semula kepimpinan UMNO Sabah agar parti itu bertambah kuat setelah menghadapi krisis sokongan”, katanya dalam kenyataan hari ini, ketika mengulas kepimpinan Bung.

Titing berkata, UMNO Sabah dibawah pimpinan Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan kini berada di landasan yang kukuh dengan sokongan daripada rakyat semakin bertambah kukuh dan kuat dari hari ke hari.

Menurutnya, kekuatan UMNO Sabah dapat dilihat dan diuji apabila Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang bertandingan atas tiket Barisan Nasional (BN) menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis bulan lalu.

Katanya, selaras dengan autonomi yang diberikan oleh UMNO Pusat kepada UMNO Sabah, buat pertama kalinya dalam sejarah politik UMNO, Bung diberi kepercayaan dan kuasa untuk memilih dan menentukan calon PRK Kimanis.

Beliau berkata, Bung yang mengetuai Jentera PRK itu dengan sokongan dan dokongan padu daripada pemimpin UMNO Pusat dan rakan parti komponen BN yang lain serta parti-parti pembangkang  lain iaitu PAS, Parti Bersatu Sabah (PBS), Star dan lain-lain, maka Parlimen Kimanis berjaya kakal milik BN.

Kepimpinan Bung begitu menyerlah apabila UMNO dan BN berjaya menewaskan Parti Warisan Sabah dalam PRK Parlimen Kimanis.

“Bukan mudah bagi UMNO dan BN yang mewakili blok pembangkang untuk mengalahkan parti Warisan yang menerajui Kerajaan Negeri Sabah dalam pertandingan satu lawan satu dalam PRK Kimanis.

“Kemenangan BN dalam PRK Kimanis bukan sahaja membuktikan bahawa rakyat menolak Warisan yang merancang untuk melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS) pada mulanya, malah sekaligus membukti sokongan yang padu daripada rakyat terhadap UMNO dan BN”, tegasnya.

Bung Moktar, 60,  dilahirkan pada tahun 1959 di Kampung Bilit, Sukau, Kinabatangan pernah berjuang bersama United Sabah National Organisation (USNO) sebelum menyertai UMNO setelah USNO dibubarkan bagi memberi laluan kepada ahli-ahlinya untuk menyertai UMNO supaya parti itu dapat bertapak di Sabah.-pr/BNN