Jangan tuduh Cina Sabah pendatang-Francis Goh

0
237

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden MCA Sabah, Datuk Francis Goh membidas  tuduhan dari Ketua Pemimpin Pemuda Burhanuddin (PERKASA) bahawa dia telah memutarbelitkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibrahim Ali kerana Presiden Perkasa Nasional itu tidak pernah menyentuh soal ” ketuanan Melayu “.

Beliau hanya berkata kaum minoriti (orang Cina) di Sabah tidak ada hak  mempersoalkan dasar kerajaan di Malaysia berkenaan isu UEC dan jangan injak kepala kaum majoriti orang asal di Sabah.  Burhanuddin juga mempersendakan Goh kurang pakar dalam memahami Bahasa Melayu dan tidak patut diberi kerakyatan Malaysia.

Dalam kenyataan terbaru oleh  Goh, ia  berkata, ” Apa yang Perkasa takutkan dengan agenda ” ketuanan Melayu ” kerana memang pun Ibrahim Ali pernah mengakui bahawa beliau adalah ” Raja Rasis ” di Malaysia dan agenda Ketuanan Melayu adalah objektif yang diperjuangkan oleh Perkasa.”

“Saya dilahirkan di negeri Sabah sebelum Sabah merdeka dan berdarah kacukan Cina Kadazan dan lebih mengetahui tentang sejarah kaum etnik yang berada di Sabah. Dengan mengatakan saya tidak berhak mendapat kerakyatan oleh Burhanuddin itu sekali lagi menonjolkan otak-otak bodoh Perkasa ini menyangka kaum cina di Sabah ini semua adalah ‘Pendatang’, katanya.

Menurut sejarah catitan bancian penduduk sebelum merdeka, Sabah tidak mempunyai bangsa Melayu, yang ada hanya orang Brunei, Bajausama, Bajau Laut, Orang Sungai, Ubian dan orang Sungai yang berugama Islam. Orang Melayu dari Semenanjung pun tidak dibenarkan memiliki tanah status NT.

“Jadi Perkasa jangan datang ke Sabah untuk batu api atau sebarkan sentimen perkauman di sini. Perkasa patut memperlajari semangat 1 Malaysia yang telah lama semua rakyat Sabah sanjungi. Ramai perkahwinan campur di antara kaum-kaum di Sabah dan ini tidak menjadi satu isu,” katanya lagi.

Bukan sahaja MCA membidas Perkasa, tetapi ketua PKR Sabah Christina Liew , Setiausaha UPKO Sabah, Datuk Donald Mojuntin dan Pengerusi Gabungan Persatuan Cina Tan Sri Goh Tian Chuan  turut mengutuk dan menyeru Kerajaan Sabah mengharamkan kemasukan Ibrahim Ali ke bumi Sabah. Ini membuktikan kewujudan Perkasa dan pelampau kaum adalah tidak dialu-alukan oleh orang Sabah.

Goh juga menasihati Burhanuddin supaya belajar tentang sejarah Sabah yang langsung tiada sebarang kait sangkut dengan sejarah Malaya sebelum membuat andaian yang tidak bernas dan memalukan.

Beliau juga mencabar supaya satu sesi perdebatan dalam bahasa Melayu diadakan berkenaan “patutkah ketuanan Melayu wujud di Sabah”.

Tambah Goh, PERKASA diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, iaitu Tun M yang memang dikenali sebagai penaung “social contract ” dan pejuang  agenda perkauman, dan Perkasa menyebar sayapnya ke Sabah mungkin bertujuan untuk membantu Parti Pribumi memenangi PRU ke-14 kerana Tun M tidak berani menubuhkan partinya di Sabah dengan mengetahui semua orang Asli Sabah benci terhadap beliau kerana isu Projek IC yang menyebabkan pertambahan 1 juta PTI menjadi rakyat Sabah yang mengubah struktur politik Sabah.

“Justeru itu, kita hendak berwas- was kepada Perkasa sebagai Hulubalang Kiri kepada Parti Pri Bumi selain daripada Hulubalang Kanannya Parti Warisan. Kita mesti TOLAK kumpulan pelampau keagamaan dan perkauman dari Sabah,” kata Goh.-Moses Wong/BNN