KENINGAU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya terhadap masalah anjing berkeliaran bebas di sekitar Pekan Keningau, termasuk memasuki restoran dan kedai makan.
Pengerusinya, Haji Yazid Haji. Mohd. Hasnan Tawik @ Charles, berkata masalah berkenaan bukan perkara baharu, malah sudah berlaku sejak sekian lama sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan pengusaha dan pelanggan premis makanan.
“Kita memahami bahawa haiwan juga mempunyai hak untuk dilindungi, namun pada masa sama aspek keselamatan, kebersihan dan keselesaan orang awam tidak boleh dipandang ringan,” katanya.
Beliau berkata, terdapat pengusaha restoran dan kedai kopi terpaksa menghalau anjing yang memasuki premis masing-masing, namun keadaan itu hanya bersifat sementara apabila haiwan berkenaan kembali semula.
Katanya, kehadiran anjing berkeliaran bukan sahaja mengganggu pelanggan, malah boleh menimbulkan kebimbangan terhadap kebersihan premis makanan, keselamatan kanak-kanak dan orang awam, selain risiko kejadian tidak diingini sekiranya terdapat anjing agresif atau tidak diketahui status pemilikannya.
“Pekan Keningau merupakan pusat tumpuan masyarakat dan antara kawasan penting bagi aktiviti ekonomi serta perniagaan. Oleh itu, kebersihan, keselamatan dan keceriaan pekan perlu sentiasa diberi perhatian,” katanya.
Sehubungan itu, PKMB berharap PBT, Ahli Majlis Daerah Keningau dan agensi berkaitan dapat turun padang menilai keadaan sebenar serta mengambil tindakan mengikut peraturan dan undang-undang berkuat kuasa, termasuk mengenal pasti pemilik anjing, menjalankan operasi pengurusan anjing berkeliaran secara berkala serta menyediakan saluran aduan yang lebih berkesan.
Yazid turut menyeru pemilik haiwan peliharaan supaya bertanggungjawab memastikan anjing masing-masing tidak berkeliaran tanpa kawalan, khususnya di kawasan tumpuan awam dan premis makanan.
“Ini bukan soal membenci haiwan, tetapi tanggungjawab bersama. Kebajikan haiwan perlu dijaga, begitu juga keselamatan, kesihatan awam dan hak masyarakat untuk menikmati persekitaran yang bersih serta selesa,” katanya.-pr/BNN





