PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Sabah kekal menetapkan had umur belia sehingga 40 tahun dengan mengambil kira realiti geografi dan sosioekonomi negeri, khususnya keperluan golongan muda di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata keputusan Kabinet Negeri itu membolehkan golongan berusia 31 hingga 40 tahun terus mendapat akses kepada latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan program pembangunan belia.

Katanya, golongan berkenaan mempunyai pengalaman, kemahiran dan potensi yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan komuniti serta kemajuan negeri.

Beliau turut menghargai sokongan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, terhadap keputusan Sabah mengekalkan had umur berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang IV, Penggal Ke-35, Sesi 2025–2026 yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, di sini, semalam.

Menurutnya, pendirian itu akan diterjemahkan menerusi cadangan Enakmen Pembangunan Belia Sabah yang sedang dirangka untuk dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi memperkukuh pengurusan pertubuhan belia serta menyediakan landasan pembangunan generasi muda yang lebih sistematik.

Dalam perkembangan lain, Nizam membangkitkan isu tambang penerbangan yang tinggi antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia, yang menjadi kekangan kepada belia untuk mengikuti pengajian, latihan kemahiran dan program pembangunan di luar negeri.

Beliau berkata, cadangan memperkenalkan kadar tambang penerbangan khas untuk golongan belia adalah antara lima usul yang dibangkitkan pada persidangan MPBN peringkat Sabah baru-baru ini.

Kementeriannya akan mengadakan tindakan susulan dengan pihak berkaitan di peringkat Persekutuan bagi meneliti mekanisme bersesuaian untuk mengurangkan beban kos perjalanan itu.

Persidangan berkenaan turut membincangkan keselamatan digital, kemudahan penjagaan kanak-kanak bagi keluarga muda serta cadangan mewujudkan hab pembangunan belia di setiap daerah.

Nizam berkata, pelaksanaannya perlu mengambil kira keluasan geografi, jarak perjalanan dan keperluan masyarakat setempat supaya belia di bandar, luar bandar dan pedalaman mendapat peluang pembangunan yang saksama.-pr/BNN