KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) mengalu-alukan pendedahan Pengerusi Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mengenai dakwaan berlakunya salah laku di bawah pentadbiran Ahli-Ahli Jemaah Pengarah (AJP) terdahulu.

Dato Abd Lateh Mohd Saman yang mewakili AJP Nafas terdahulu berkata, dakwaan tersebut bukan perkara baru kerana ianya telah didedahkan semasa Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Nafas tahun 2018 oleh Hamzah Bahari selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) ketika itu.

Beliau berkata, dakwaan salah laku itu juga telah dilaporkan kepada pihak berkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan lanjut

“Sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak Berkuasa berhubung dakwaan salah laku oleh bekas AJP Nafas”.

“Justeru, saya berasa hairan dan pelik kerana Phahrolrazi tiba-tiba sahaja mendedahkan dakwaan itu terutama menjelang pemilihan AJP Nafas sempena MAT Nafas yang akan diadakan pada 25 Februari 2020 ini.

“Umum mengetahui ramai bekas AJP Nafas terdahulu juga menawarkan diri bertanding dalam pemilihan AJP Nafas kali ini”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abd Lateh mengulas kenyataan Phahrolrazi semalam yang mendakwa audit forensik yang dijalankan terhadap Nafas, menemui tujuh perkara yang meragukan dan menyalahi tatacara kewangan serta tadbir urus institusi itu, sehingga mengakibatkan kerugian.

Phahrolrazi mendedahkan, penemuan itu berdasarkan hasil audit forensik, terhadap akaun-akaun institusi itu yang dilaksanakan oleh sebuah firma audit antarabangsa pada Mei hingga September tahun lepas, melibatkan salah laku di bawah pentadbiran AJP terdahulu.

Pada Jun 2018, Pendaftar Pertubuhan Peladang mengeluarkan perintah penggantungan ke atas Perlembagaan Nafas susulan satu laporan pengurusan audit yang dilakukan pada 26 Mac 2018, kononnya mengalami masalah tadbir urus yang serius terutama dari aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepimpinan AJP dan pengurusan sebelum ini.

Abd Lateh juga mempersoalkan kenapa Phahrolrazi tidak mendedahkan nama firma audit antarabangsa yang beliau nyatakan telah melakukan audit forensik terhadap akaun-akaun institusi itu?

Katanya, setiap akaun dan laporan tahunan kewangan Nafas akan diaudit oleh juruaudit bertauliah dan juga juruaudit dalaman yang dipilih dikalangan perwakilan MAT Nafas sebelum ianya dibentangkan dalam MAT.

Menurutnya, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selaku pendaftar PP atau wakilnya juga terlibat sama dalam setiap mesyuarat AJP Nafas yang pastikan akan memberi teguran atau bantahan sekiranya berlaku kepincangan atau salah laku dalam tadbir urus Nafas terdahulu.

“Justeru menerusi pendadahan oleh Phahrolrazi semalam, kami berharap pihak LPP selaku pendaftar akan segera mengambil tindakan selaku pemeriksaan dan siasatan lanjut terhadap semua dokumen berkaitan mengenai dakwaan Pengerusi Nafas itu.

“Pihak berkuasa juga perlu segera mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat sekiranya benar dakwaan berlakunya salah laku dalam tadbir urus Nafas di bawah pentadbiran Ahli-Ahli Jemaah Pengarah (AJP) terdahulu”, tegasnya.-pr/BNN