KOTA KINABALU: Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ranau, Datuk Jaimin Samitah menyokong keputusan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menamatkan lantikan politik dalam agensi dan anak syarikat kerajaan.

Katanya, keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut baik oleh ahli-ahli peladang.

Beliau berkata, umum pengetahui Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu telah melantik pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah dalam agensi-agensi dan anak syarikat kerajaan termasuk di semua kementerian.

“Ramai lantikan politik ini kebanyakannya tiada pengalaman dan terdiri daripada pemimpin dan ahli-ahli parti-parti komponen PH”.

“Memandangkan kini Kerajaan PH sudah tumbang, maka mereka yang telah dilantik sebagai Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah dan lain-lain jawatan lantikan politik wajar dan mesti ditamatkan segera”.

“Ini bagi membolehkan Kerajaan PN melantik pengerusi dan ahli lembaga yang baharu yang dapat mendokong amanah, aspirasi dan wawasan kerajaan PN”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan Jemaah Menteri Persekutuan dalam mesyuaratnya pada 11 Mac 2020 telah memutuskan perkara tersebut.

Jaimin berkata, ahli-ahli peladang menyokong penuh keputusan PM bersama kabinetnya yang telah memutuskan penamatan tersebut.

Katanya, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) merupakan contoh terbaik jawatan lantikan politik telah menyusahkan ahli-ahli peladang seluruh negara.

Menurutnya, Pengerusi LPP dan Nafas terdiri daripada pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) yang telah dilantik oleh bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Salahuddin Ayub.

“Mereka kemudiannya melantik ahli-ahli Amanah sebagai Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dalam Pertubuhan Peladang (PP) kawasan, negeri dan Nafas sehingga membebankan PP yang terpaksa membayar elaun AJP tersebut”.

“Manakala di Nafas pula, ahli-ahli Amanah juga dilantik memegang pelbagai jawatan lantikan politik yang tidak sepatutnya diwujudkan sehingga membebankan Nafas membayar gaji-gaji mereke”, tegasnya.

Jaimin berharap lepas penamatan dibuat oleh Kerajaan, hanya di Nafas dan PPN perlu ada lantikan Menteri kerana ada keperluan, sebaliknya di PPK langsung tiada keperluan kerana PPK tidak ada kemampuan membayar elaun.

Jaimin juga mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di atas keputusan tersebut.-pr/BNN