KOTA KINABALU: Pengurusan sisa di Sabah perlu dilihat melangkaui aspek kutipan dan pelupusan, seiring perkembangan bandar, perubahan corak penggunaan serta peningkatan tekanan terhadap alam sekitar yang turut memberi implikasi terhadap kelestarian, tadbir urus tempatan, peluang ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS), dengan kerjasama Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS) Malaysia, akan menganjurkan seminar dan Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) bertajuk “Trash Talk to Action: Understanding Sabah’s Changing Waste Management Landscape” pada 21 September ini di Le Méridien Kota Kinabalu.

Program berkenaan adalah siri pertama dalam program libat urus dasar lebih luas bagi membina pemahaman bersama mengenai landskap pengurusan sisa di Sabah, selain menghimpunkan wakil agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, ahli akademik, pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil, komuniti serta rakan pembangunan.

Perbincangan akan memberi tumpuan kepada situasi semasa, trend baharu dan perbezaan cabaran pengurusan sisa mengikut daerah, termasuk aspek pengurusan alam sekitar, komuniti kepulauan, kawasan luar bandar serta perspektif masyarakat terhadap cabaran di lapangan.

Antara komponen utama ialah FGD pihak berkepentingan “One State, Different Waste Realities” yang akan meneliti perbezaan keadaan antara daerah dan komuniti, termasuk faktor geografi, infrastruktur, keupayaan institusi serta akses kepada perkhidmatan yang mempengaruhi keberkesanan pengurusan sisa.

Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, berkata perbincangan itu bertujuan mewujudkan asas pengetahuan dan pemahaman bersama sebelum perbincangan diperluaskan kepada aspek tadbir urus, penyelarasan institusi dan pelaksanaan jangka panjang.

“Pengurusan sisa adalah tanggungjawab bersama. Ia bukan sahaja melibatkan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, malah komuniti, sektor perniagaan, masyarakat sivil serta setiap individu.

“Dengan menghimpunkan pelbagai perspektif ini, kita berharap dapat memahami dengan lebih baik realiti sebenar di lapangan dan mengenal pasti ruang serta peluang untuk memperkukuh pendekatan Sabah terhadap pengurusan sisa,” katanya.

Program Trash Talk to Action bertujuan menyokong perbincangan dasar pengurusan sisa yang lebih berasaskan maklumat dan pemahaman menyeluruh, dengan hasil perbincangan akan dirumuskan bagi mengenal pasti bidang yang memerlukan libat urus berterusan serta menjadi asas kepada aktiviti susulan.

Bagi IDS, inisiatif itu selaras dengan peranannya sebagai badan pemikir kerajaan dalam menyokong proses membuat keputusan dan pembangunan dasar Sabah berasaskan penyelidikan.-pr/BNN