KOTA KINABALU: Pakej Bantuan CoVID-19 Kerajaan Negeri Sabah & Pakej Rangsangan Ekonomi Kerajaan Pusat sangat membantu meringankan beban rakyat dalam situasi menghadapi penularan wabak CoVID-19 dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Peraukaunan, Universiti Malaysia Sabah, Dr Rafiq Idris, ‘pengumuman yang dibuat Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdhal baru-baru ini sangat membantu dalam keadaan negara menghadapi keadaan ekonomi yang sangat mencabar.’

Pakej Bantuan COVID-19 Sabah berjumlah RM670 juta merangkumi 3 aspek penting, yang mana RM360 juta diperuntukkan untuk rakyat yang terjejas, RM60 juta untuk petugas barisan hadapan dan RM250 juta lagi untuk bantuan meningkatkan kualiti hidup rakyat dan perniagaan kekal mapan.

“Pada saya, Pakej Bantuan COVID-19 ini boleh menjadi pelengkap kepada pakej rangsangan ekonomi kerajaan pusat”, tambah Dr Rafiq.

Sehubungan dengan itu, pengumuman pengagihan berjumlah RM130 juta yang bakal diagihkan daripadanya kepada setiap kerajaan negeri yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri juga sangat membantu semua kerajaan negeri.

Setiap kerajaan negeri setelah dibahagikan sama rata, berkemungkinan menerima RM10 juta daripada peruntukan itu.

Di samping itu, Dr Rafiq juga mengulas bahawa bantuan-bantuan yang dihulurkan ini boleh dilihat sebagai bertindak untuk merangsang aktiviti ekonomi, membantu membiayai kos tambahan akibat penularan wabak serta sebagai usaha untuk meminimakan kesan PKP/COVID19 dan ‘to cushion the impact.’

‘Kita patut beri sokongan penuh kepada usaha murni kerajaan negeri dan pusat dalam menangani situasi yang sangat mencabar ini,’ tambahnya.-pr/BNN