KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohd. Azis Jamman ternyata tidak tahu cara penyelesaian masalah Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah apabila mengeluarkan kenyataan mencabar Dr. Jeffrey G. Kitingan (DDJK) untuk menghantar pulang segera golongan ‘Stateless’ di Sabah.
Ini terbukti kerana sepanjang memegang jawatan Timbalan Menteri KDN beliau cuma mampu untuk mencadangkan Pas Semantara Sabah (PSS) yang akhirnya ditolak oleh Orang Asal Sabah (OAS).
Menurut penganalisis politik, Ir. Jovilis Majami golongan ‘Stateless’ ini adalah sekadar sebahagian daripada masalah PTI di Sabah akibat daripada kebanjiran PTI yang tidak diselesaikan sejak sekian lama.
“Tetapi ianya tidak akan menyelesaikan sepenuhnya masalah PTI ini sekiranya hanya memfokuskan untuk menghantar mereka pulang.
“Sekiranya penyelesaian itu cuma ditumpuhkan kepada menghantar pulang ‘stateless’ ini sahaja maka ianya tidak akan kemana kerana pengeluar-pengeluar ‘stateless’ ini masih berada di Sabah.
“Semua pihak perlu faham bahawa apa yang dinyatakan oleh DDJK mengenai PTI ini ialah menyelesaikan masalah PTI ini secara TUNTAS dan MENYELURUH”, katanya.
Beliau mengulas kenyataan Azis Jamman yang mencabar DDJK untuk menghantar pulang semua warga asing tanpa negara di Sabah secepat mungkin seperti yang diperjuangkannya selama ini semasa masih berada di blok pembangkang.
Ir. Jovilis berkata penyelesaian secara tuntas dan menyeluruh seperti yang dikatakan oleh DDJK itu bukan sekadar menangkap dan menghantar mereka ke negera asal mereka, tetapi harus bermula daripada APA, KENAPA, SIAPA, AKIBAT dan BAGAIMANA.
Menurut beliau ‘APA’ itu perlu diterjemahkan kepada apa masalah yang timbul di Sabah dan sudah tentu bahawa APA yang dimaksudkan itu ialah masalah PTI.
“Pertanyaan ‘KENAPA’ pula memfokuskan kepada kenapa masalah kebanjiran PTI ini berlaku. Apakah kerana didalangi oleh pemimpin-pemimpin politik, sistem negara atau disumbangkan oleh faktor-faktor lain yang kita masih tidak jelas penyebabnya.
“Sebaliknya ‘SIAPA’ ialah pertanyaan yang menjurus kepada siapa individu-individu terlibat yang menjadi dalang kepada kebanjiran PTI ini.
“‘AKIBAT’ pula diterjemahkan kepada masalah-masalah yang timbul apabila isu PTI ini dibiarkan berpanjangan tanpa penyelesaian.
“Manakala ‘BAGAIMANA’ pula menfokuskan kepada bagaimana kita boleh menyelesaikan permasalahan ini secara menyeluruh dan tuntas seperti yang dicadangkan oleh DDJK”, tegasnya.
Menurut Ir. Jovilis lagi penyelesaian tuntas yang dimaksudkan oleh DDJK juga adalah menjurus kepada penyelesaian masalah pertambahan penduduk Sabah secara drastik sejak 1960 dahulu.
“Kita sedia maklum bahawa pertambahan penduduk Sabah adalah tidak masuk akal sama sekali iaitu 417%, dan boleh diterjemahkan sebagai sepasang suami isteri melahirkan anak sebanyak 834 orang sejak 40 tahun lepas seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau sendiri.
“Pertambahan penduduk ini perlu kita siasat sedalam-dalamnya termasuklah kenapa ianya berlaku, siapa mereka ini dan dimana mereka berada ketika ini, seterusnya menentukan apa bentuk penyelesaian dan tindakan sekiranya mereka memperolehi kerakyatan secara tidak sah”, tambahnya.
Namun menurut Ir. Jovilis lagi, ini tidak bermakna bahawa sepanjang merangka jalan penyelesaian tuntas terhadap isu PTI ini kerajaan tidak mengendahkan masalah PTI yang ada di depan mata.
“Kita harus bertindak tegas kepada mereka-mereka yang sememangnya tidak mempunyai dokumen diri, kad pengenalan palsu atau mendapat kad pengenalan secara tidak sah sebab ianya nyata melanggar undang-undang negara kita.
“Sepatutnya kerajaan Sabah perlu bertindak untuk merangka penyelesaian tuntas kepada masalah ini kerana kerajaan Sabah punya hak untuk melindungi dan menjaga orang asal daripada terancam dan bukannya menuding jari kepada DDJK dan Kerajaan Persekutuan semata-mata untuk menyelesaikan masalah tersebut”
Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan Sabah dangan persekutuan perlu bagi menyelesaikan masalah ini.
“Saya merasakan sekiranya kerajaan Sabah yang diterajui oleh parti Warisan tidak mampu untuk menyelesaikan masalah ini, maka kita perlukan kerajaan baru yang ada kemampuan untuk menyelesaikannya”, ujarnya.-pr/BNN