KOTA BELUD: Kerajaan Negeri digesa segera menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi oleh penduduk di 9 buah kampung dalam Mukim Rosok.
Mantan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Belud, Encik Mohd Arsad Bistari berkata, masalah bekalan air di mukim itu bukan masalah baru dan sudah berlanjutan sejak sekian lama.
Katanya, sistem perpaipan yang digunakan, merupakan yang dibina sejak zaman pentadbiran Kerajaan Berjaya lagi.
“Masalah bekalan air yang dihadapi oleh lebih 4500 penduduk dari 9 buah kampung di Mukim Rosok perlu diselesaikan secara tuntas”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai lebih 100 orang penduduk kampung mukim itu bergotong royong membaiki empangan air graviti di Sungak Takutan yang rosak akibat banjir kilat baru-baru ini, pada Ahad lalu.
Arsad yang juga penaung Kota Belud 4WD Club telah mengambil inisiatif menggunakan jenteranya membantu kerja-kerja pembersihan di kawasan sumber air graviti, termasuk membersih laluan bagi kegunaan penduduk kampung.
Katanya, kerosakan empangan sumber air di Sungai Takutan merupakan masalah yang sering dihadapi setiap kali berlaku banjir besar.
Menurutnya, kerosakan itu turut mengakibatkan tekanan air semakin rendah serta menyebabkan krisis sumber bekalan air kepada penduduk kampung.
Menurutnya, penduduk kampung berharap Wakil Rakyat dan jabatan berkaitan dapat memberi perhatian yang lebih serius dalam menyelesaikan isu itu demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk mukim Rosok.
Katanya, walaupun sebelum ini terdapat usaha dilakukan oleh wakil rakyat dan pelbagai pihak, namun kaedah yang dilaksanakan belum dapat mengatasi masalah ini sepenuhnya.
Beliau berkata, penduduk kampung di mukim itu menghargai usaha pelbagai pihak yang prihatin terhadap masalah itu.
Justeru katanya, sudah tiba masanya masalah bekalan air yang dihadapi oleh ribuan penduduk mukim Rosok diselesaikan secara tuntas oleh Kerajaan Negeri.
Gotong royong ini turut sertai oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Belud.
Turut menyertai program gotong royong itu ialah Ketua Belia Gereja SDA Kg Rosok, Encik Sigam Angur. Ketua Kampung dari 8 buah kampung iaitu KK Saikal Sinau (Kg.Bambangan), KK Justin Kulimot (Kg.Rantai), KK Jaffar b.Mion (Kg.Bugaron), KK Manang Singkok (Kg Gentuong), KK Rahman b. Minggur (Kg.Kalibungan), K.K Jaipin Yasap ,(Kg.Bangkahak Sunsum), K.K.Dakim bin Mongkoi (Kg Bangkahak Nayasan) dan KK. Jehan bin Sidum (Kg.Bangkahak Baru).
Manakala Pengerusi Majlis Pengurusan Komoniti Kampumg (MPKK) turut serta menjayakan program itu ialah Encik Dua Seguli (Kg.Bambangan), Encik
Marubin Ahal (Kg.Rantai), Encik Johari Yading (Kg.Ginapas), Encik Hindrow Marahu (Kg Bugaron), Encik Suantim b.Sibit (Kg.Gentuong), Encik Marikus b.Sarun (Kg.Kalibungan), Encik Robert b.Sual (Kg.Bangkahak Sunsum), Enck Malakin bin Lintangah (Kg.Bangkahak Nayasan) dan Encik Laidek bin Lontong (Kg.Bangkahak Baru).-pr/BNN