KOTA BELUD: UMNO Bahagian Kota Belud akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk yang pernah disandang oleh parti itu, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu, Encik Selamat Antang berkata kerusi itu yang dimenangi oleh Datuk Musbah Jamli atas tiket UMNO (Barisan Nasional) semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 (2018) perlu ditanding oleh calon UMNO pada PRN kali ini.

Katanya, DUN Tempasuk merupakan kubu kuat UMNO sejak sekian lama dan tidak ada sebab untuk UMNO memberi laluan kerusi itu kepada parti lain.

“DUN Tempasuk mesti kekal ditandingi oleh calon UMNO. Ianya tidak wajar diberikan kepada calon dari parti lain”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

DUN Tempasuk telah dimenangi oleh UMNO (BN) selama 6 penggal berturut-turut, sejak PRN ke 09 pada tahun 1994.-pr/BNN