KINARUT: Sebuah Rumah Anak Yatim yang serba lengkap akan dibina di Taman Pantai Lok Kawi, kira kira 15 KM dari Kota Kinabalu.

Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada bulan November tahun ini.

Musa (duduk, empat dari kiri) bergambar kenang-kenangan bersama penghuni RAY As Sakinan.

Pengurusi Rumah Anak Yatim (RAY) As Sakinah, Haji Samin Ongki berkata bangunan dua tingkat itu akan menelan kos RM 1.9 juta.

Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra antara Tan Sri Musa Haji Aman bersama para penghuni dan Ahli Lembaga Pentadbiran Rumah Anak Yatim As Sakinah di Pekan Sabindo pada Ahad.

Musa juga diberitahu antara kemudahan yang terdapat dalam rumah anak yatim itu ialah asrama bagi penghuni lelaki dan perempuan, pejabat pentadbiran, surau, dewan serbaguna, dewan makan dan perpustakaan mini.

Sehubungan itu, Samin menyeru umat Islam yang berkemampuan agar tampil menyumbang dan membantu kerana jumlah dana yg diperlukan masih belum lagi mencukupi.

Sementara itu, Musa dalam ucapanya mengalu-alukan usaha pihak pengurusan RAY As Sakinah menyediakan kemudahan yang selesa kepada anak anak yatim.

Katanya langkah untuk memelihara dan menyantuni anak-anak yatim adalah kerja yang mulia di sisi Allah dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Menurutnya, banyak ayat Quran dan Hadith Nabi Muhammad saw yang memberi peringatan peri mulianya memelihara dan mendampingi anak anak yatim.

Beliau menyeru anak-anak Yatim yang sedang menghuni RAY As Sakinah supaya belajar bersungguh-sungguh supaya dapat memberikan sumbangan kepada Negeri dan Negara.

Katanya, takdir mereka sebagai anak yatim tidak menghalang mereka untuk maju dan berjaya dalam bidang pelajaran.

Musa turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada para penghuni dan RAY As Sakinah.-pr/BNN

Musa menyerahkan sumbangan kepada Samin di majlis itu.