KOTA KINABALU:. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana saya diberi kebenaran oleh Mahkamah Persekutuan hari ini bagi meneruskan semakan rayuan untuk diisytiharkan sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.
Akhirnya, saya diberi peluang untuk membicarakan kes saya secara sepenuhnya di peringkat mahkamah tertinggi.
Mahkamah Persekutuan mengambil ketetapan bahawa kes terhadap TYT Sabah dan Shafie Apdal bukan bersifat akademik, justeru wajar diperdengarkan supaya Mahkamah Persekutuan dapat menentukan keabsahan langkah menolak saya sebagai Ketua Menteri, susulan pelantikan Shafie sebagai penyandang jawatan berkenaan.
Mahkamah Persekutuan juga mengambil pendirian bahawa dapatan daripada kes ini adalah sangat signifikan, bukan hanya melibatkan seorang individu tetapi untuk semua rakyat Sabah khususnya dan negara amnya.
Rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada langkah penyingkiran terhadap saya sebagai Ketua Menteri dibuat selaras Perlembagaan Sabah atau sebaliknya.
Mahkamah juga menyatakan yang kes ini mempunyai implikasi perlembagaan dan perundangan di peringkat Persekutuan.
Seperti saya nyatakan sebelum ini bahawa kes ini bukan berkisar mengenai diri saya. Ia adalah berhubung perjuangan menuntut kebenaran, keadilan dan memartabatkan Perlembagaan Sabah.
Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada pasukan perundangan saya yang memberikan dedikasi sepenuhnya terhadap kes ini dan saya yakin bahawa mereka akan terus berbuat demikian pada masa depan.
Saya juga ingin berterima kasih kepada keluarga, sahabat, rakan seperjuangan politik dan penyokong yang kekal berdiri teguh dengan saya selama ini.-
Tan Sri Musa Haji Aman,
Kuala Lumpur,
26 Ogos 2020