BONGAWAN: ‘Lembu punya susu, sapi dapat nama’ sudah sinonim dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang gemar mengambil pujian atas usaha pihak lain walaupun jelas tindakan itu ‘memakan diri sendiri’.
Malah, Warisan cuba menyalahkan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Anifah Aman atas pembinaan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis yang didakwa tidak memberi manfaat kepada Sabah.
Berbanding usaha kononnya kerajaan Warisan berjaya mengenakan cukai jualan ke atas gas asli yang dibawa keluar dari negeri ini, sedangkan hakikatnya semua itu tidak akan berlaku jika SOGT tidak wujud di Kimanis.
Timbalan Ketua Pemuda PCS Kimanis, Joselay Bin Onong berkata, SOGT menjadi perintis kepada industri hiliran minyak dan gas di negeri ini dan tanpa SOGT Warisan tidak mampu mengambil kredit atas usaha itu.
Katanya, umum maklum Anifah yang sebelumnya Ahli Parlimen Kimanis adalah individu yang bertanggungjawab membawa SOGT di kawasan ini hingga wujud peluang industri lainnya selepas itu.
Menurutnya, SOGT menjadi perintis hingga wujudnya Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Sipitang yang pernah mengeluarkan Ammonia tertinggi di Malaysia sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada anak Sabah dalam industri itu.
“Terbaru, Warisan cuba salahkan Anifah kononnya berdiam diri apabila Petronas mengambil keputusan tidak membina loji penapis gas asli di Kimanis hingga Sabah terlepas berbillion ringgit.
“Hakikatnya, tanpa SOGT dibawa Anifah, tidak akan ada peluang Petronas membina SAMUR di Sipitang dan beberapa industri hiliran lainnya sekarang ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.(2 September)
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Wira Warisan Bahagian Kimanis, Abdul Kadir Jailani yang menyifatkan SOGT sebagai ‘Pintu neraka minyak dan gas di Sabah’.
Dalam kenyataannya, bekas Pegawai Pembangunan Masyarakat (UPPM) Membakut itu menyalahkan Anifah susulan keputusan Petronas sebelum ini yang tidak membina loji penapis gas asli di Sabah sedangkan SOGT wujud di Kimanis.
Joselay berkata, Sabah masih baru dalam industri ini berbanding Sarawak yang sudah memulakan industri sama melalui MLNG Bintulu sejak lebih 30 tahun lalu dan diiktiraf sebagai pengeluar gas asli terbesar di dunia.
Katanya, atas dasar itu, Anifah berjuang dan berunding dengan Petronas untuk membina SOGT sebagai langkah awal agar Sabah mampu maju dalam industri itu walaupun agak ketinggalan berbanding Sarawak.
Menurutnya, pada awalnya Petronas bercadang membuat saluran dasar laut terus ke Malaysia LNG Sdn. Bhd. (MLNG) di Bintulu tanpa melalui Sabah untuk membekalkan gas mentah bagi menjimatkan kos.
Namun katanya, cadangan ini dibantah sekerasnya Anifah sebagai Ahli Parlimen Kimanis pada masa itu yang sedar Sabah memerlukan langkah awal supaya mampu membangunkan sumber gas dan minyak seperti Sarawak.
“Berkat usaha beliau, terbinanya SOGT di Kimanis walaupun Petronas terpaksa berbelanja besar dan melupakan perancangan awal iaitu membina saluran paip dasar laut tanpa melalui Sabah.
“Abdul Kadir yang jelas cuba mencari publisiti murahan melalui kenyataan tidak realistik seharusnya belajar dan faham keadaan serta isu semasa sebelum membuat komen ,” tegasnya.
Joselay turut membangkitkan persoalan mengapa Shafie sebagai Naib Presiden Umno dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada masa itu tidak memperjuangkan isu minyak dan gas di Sabah?.
Katanya, mengapa perlu salahkan Anifah sedangkan beliau sudah melakukan banyak usaha hingga SOGT wujud di Kimanis sekaligus membuka industri minyak dan gas termasuk industri hiliran sama lainnya di Sabah.
“Persoalannya, kenapa salahkan Anifah yang pada masa itu cuma Menteri Luar..sepatutnya salahkan Presiden Warisan, Shafie Apdal yang ketika itu Menteri KKLW dan Naib Presiden Umno.
“Semua tahu beliau rapat dengan Perdana Menteri (Najib Razak) dan sudah tentu dapat melakukan sesuatu agar Petronas setuju buka loji penapis gas di Kimanis namun Shafie cuma membisu.
“Kenapa sekarang baru mahu ‘bising’?..kenapa tidak sebelumnya dan apa yang sudah dilakukan kerajaan Warisan untuk membangunkan industri sama di Sabah yang tanpa usaha Anifah industri ini tidak akan wujud di negeri ini,” katanya.
Joselay turut mempersoalkan kenapa Shafie pada masa itu tidak berunding dengan Tun Mahathir Mohamad yang ketika itu adalah Penasihat Petronas agar dapat dibina loji penapis gas asli di Kimanis.
Beliau juga mempersoalkan apakah tindakan kerajaan Warisan lakukan untuk industri petroleum dan gas di Sabah sepanjang tempoh pentadbirannya dan apakah hala tuju yang telah ditetapkan.
“Selain itu, saya juga ingin bertanya kepada Abdul Kadir tentang apa kapasiti yang telah ditambahbaik di SOGT?.Wujudkah terminal baharu untuk menjana industri hiliran di Sabah setelah Warisan memegang tampuk pemerintahan?.
“Kami juga mahu tahu apa fungsi dan manfaat dua kementerian (Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah/Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat) diwujudkan Warisan terhadap rakyat selain hanya membazir duit rakyat,” tegasnya.
Sehubungan itu katanya, Warisan tidak perlu persoal cadangan Anifah untuk mewujudkan Kementerian Sumber Asli dan Gas Sabah jika PCS mendapat mandat kerana kementerian itu penting bagi menjaga hasil Sabah sebagaimana termaktub dalam MA63.-pr/BNN