KOTA KINABALU:. Hari ini Mahkamah Rayuan telah mengetepikan rayuan kami. Semestinya kesemua 33 ADUN, termasuk saya sangat amat kecewa, namun kami menghormati keputusan yang dibuat oleh mahkamah. Perkara ini sekarang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan untuk mendengar perbicaraan kes ini secepat mungkin kerana sebarang penangguhan perbicaraan hanya menafikan proses menuntut keadilan.
Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan memperakui pelantikan saya sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei 2018 adalah sah dan mengikut Perlembagaan Sabah. Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 26.8.2020 menerusi penghakiman bertulis bertarikh 1.9.2020 memutuskan bahawa wujud persoalan berkaitan asas kepentingan perlembagaan yang perlu didengari di peringkat Mahkamah Persekutuan, antaranya, membabitkan tatacara TYT menyingkirkan saya sebagai Ketua Menteri, dan sama ada pelantikan Shafie sebagai pengganti saya adalah ‘ultra vires’ (di luar kuasa), terbatal dan tidak terpakai. Pekara ini kini bakal diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan yang mana peguam saya telah meminta supaya sesi pendengaran diawalkan.
Sehubungan itu, saya memohon Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara memberikan saya tarikh perbicaraan lebih awal berbanding apa yang telah ditetapkan.
Saya sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa penyingkiran saya adalah tidak berpelembagaan. Justeru, sesiapa yang mengangkat sumpah selepas penyingkiran saya, adalah tidak lebih daripada sekadar perampas yang tidak sepatutnya diberi kebenaran untuk menjalankan tugas secara sahih mengikut perundangan sebagai Ketua Menteri Sabah. Tindakan membenarkan individu sedemikian menjalankan tugas berasaskan perlembagaan sebagai Ketua Menteri bakal mengundang kesan berpanjangan, seperti yang kita saksikan pada masa kini.
Oleh sebab itu apabila Shafie memohon pembubaran DUN Sabah, saya memfailkan permohonan untuk mencabar kaedah pembubaran berkenaan. Bagaimana seseorang yang kedudukannya masih dipersoalkan boleh mengemukakan permohonan kepada TYT untuk membubarkan DUN Sabah? Bagaimana TYT bertindak atas permohonan dikemukakan oleh seseorang yang pelantikannya dipertikaikan sejak dari awal? Masyarakat harus ingat bahawa pemimpin pada setiap masa perlu melangkaui kepentingan politik.
Bidang kuasa mereka, termasuk TYT Sabah, tidak sepatutnya digunakan untuk ‘memayungi’ sesetengah agenda politik seseorang yang pelantikannya dipersoalkan.
Masyarakat perlu diingatkan bahawa kes ini mempunyai kaitan dengan perkara sebelum ini yang kini di peringkat perbicaraan Mahkamah Persekutuan. Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran susulan 10 persoalan berkaitan penyingkiran saya yang tidak berpelembagaan selaku Ketua Menteri Sabah yang sah. Isu ini adalah amat penting kepada rakyat Sabah dan mesti diselesaikan dengan segera sebelum sebarang cadangan pilihan raya, kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap kesahihan pilihan raya tersebut. Sehubungan itu, saya memohon supaya rayuan saya berkaitan kes kesahihan saya sebagai Ketua Menteri Sabah didengar dengan segera. Ini kerana ia akan mempunyai kesan langsung kepada kes sedia ada jika Mahkamah Persekutuan mendengar kes kesahihan ketua menteri selepas hari penamaan calon (12 September 2020), ia ibarat nasi sudah menjadi bubur.
Kebenaran harus dibuktikan dan keadilan wajar ditegakkan.
Penangguhan keadilan adalah keadilan yang dinafikan.-
Tan Sri Musa Hj Aman
Kuala Lumpur
8 September, 2020