KOTA KINABALU: Datuk Seri Anifah Aman tidak ingin terbabit dengan taktik kempen kotor oleh presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal terhadap beliau serta keluarga.
“Saya akan mengambil tindakan undang-undang selepas pilihanraya nanti,” tegas Anifah.
Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap tuduhan Shafie yang mendakwa bahawa beliau berserta abang dan ahli keluarganya telah memperoleh kontrak 100 tahun ke atas tanah kepunyaan Yayasan Sabah.
Anifah, selaku presiden Parti Cinta Sabah (PCS) menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa tindakan Shafie ini amatlah tidak bermaruah kerana sanggup memburukkan nama beliau serta keluarga semata-mata untuk memenangi pilihan raya negeri nanti.
“Takut sangat ke dia dengan saya?”, kata Anifah.
Beliau menegaskan tindakan Shafie ini membuktikan keterdesakan beliau untuk memenangi pilihanraya negeri Sabah yang akan datang.
“Nampak gayanya Warisan tidak yakin akan pentadbiran mereka sendiri, sampai sanggup menjalankan kempen mencemar nama baik pihak lawan,” kata Anifah yang pernah memegang jawatan Menteri Luar Negeri.
Beliau turut menjelaskan tindakan Shafie ini tidak beretika dan tidak professional, dan seterusnya menasihati beliau untuk menghentikan politik kotor yang melibatkan keluarga orang lain.
Walau bagaimanapun, Anifah berkata beliau tidak akan membuang masa ke atas Ahli Parlimen Semporna tersebut.
“Saya akan menangani isu ini selepas pilihanraya”.
“Sekarang ini, apa yang penting bagi saya adalah tetap fokus kepada rakyat Sabah”, kata Anifah selain menyatakan bahawa beliau akan melancarkan manifesto yakni “Akujanji” kepada rakyat Sabah pada malam ini..- pr/BNN