BEAUFORT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam menyeru agar kawasan tanah terbiar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ini dimanfaatkan dengan aktiviti pertanian.
Ruslan yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn. Bhd. telah mengadakan lawatan kerja untuk meninjau projek tanaman getah secara berkelompok di blok Pengandaran dan Ulu Lingkungan serta melakukan pelepasan anak-anak ikan di bawah projek ekonomi tambahan, di sini, kelmarin.
Ruslan berkata, tanaman getah projek Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) itu sudah pun mencapai tahap matang dan akan diserahkan kepada peserta projek dalam masa terdekat.
Beliau turut mencadangkan kepada Pegawai Pertanian Daerah Beaufort, Fauzi Taki untuk mendapatkan peruntukan melalui Kementerian Pertanian dan Perikanan (MAFI) bagi memulakan penanaman kopi di Kampung Ulu Lingkungan.
“Terdapat 30 ekar kawasan tanah terbiar di sini.  Ini amat membantu masyarakat setempat di sini untuk menjana pendapatan,” katanya.
Selain itu, tambahnya, penternakan kelulut bagi penghasilan madu kelulut juga amat berpotensi untuk dikembangkan dengan membimbing para belia sebagai penternak kelulut.
“Secara tidak langsung ini akan memberikan peluang pekerjaan kepada golongan belia,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan kerja berkenaan ialah Ketua Daerah (KD), Haji Tajudin Asari; Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Kampung (KK),  Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK); para Pegawai Ko-Nelayan, LIGS; kakitangan Jabatan Pertanian daerah Beaufort dan juga Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Lumadan. -pr/BNN