KOTA KINABALU:Saya sejujurnya hairan, terkejut dan risau, bagaimana Ketua Menteri Interim boleh mengeluarkan kenyataan ingin membenarkan pesakit positif COVID-19 untuk bersama-sama ramai keluar mengundi.

Saya nak tanya, Shafie Apdal faham atau tidak apakah itu Pandemik, apabila dia cadangkan supaya Pesakit COVID-19 boleh keluar mengundi?

SOP yang telah ditetapkan untuk COVID-19 adalah bertujuan untuk mengasingkan sebaik boleh pesakit COVID-19 daripada orang ramai kerana daya penularan yang begitu tinggi.

Sanggup dia menggadai kesihatan ramai demi meraih undi, adakah Shafie Apdal buta hati dan begitu terdesak?

Saya cadangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihanraya, jangan tunduk kepada permintaan Ketua Menteri Interim tersebut.

Ya, mengundi adalah hak dan tanggungjawab semua, dan kita seharusnya memudahkan urusan semua yang layak.

Jadi, pada amatan saya, KKM dan SPR sebaliknya harus membenarkan undi pos bagi pesakit COVID- 19 yang sedang dikuarantin.

Dengan cara sebegini, mereka tidak perlu keluar daripada hospital atau tempat kuarantin, juga tidak akan menggangu rawatan mereka, paling penting mereka tidak akan didedahkan dengan risiko menjangkiti orang lain, dan masih boleh melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Kita semua perlu memainkan peranan untuk mengurangkan risiko wabak pandemik yang sudah dikenalpasti WHO sebagai amat berbahaya, dan saya harap tiada antara kita memandang remeh atau mengabaikan perkara ini semata-mata untuk agenda tersendiri.-

President Parti Cinta Sabah Datuk Seri Panglima Anifah Aman