SANDAKAN: Kerjasama erat sesama parti komponen Barisan Nasional (BN) adalah antara keistimewaan yang boleh menyumbang kepada kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah.

Calon BN DUN Elopura, Chan Boon Thian berkata kerjasama erat itu diterjemah melalui gerak kerja kempen yang dilakukan secara bersama dengan jentera parti komponen lain.

“Saya menghargai sokongan dan penat lelah Pemuda dan Puteri Umno Sandakan yang tidak jemu membantu saya selaku calon BN (MCA) yang bertanding bagi kerusi Elopura.

“Jentera Umno memainkan peranan yang sangat penting ketika berkempen terutama dalam mendekati pengundi muda,” katanya ketika Program Speaker’s Corner di Pasar Malam Kim Fung di sini pada Sabtu.

Program Speaker’s Corner itu merupakan anjuran Pemuda dan Puteri Umno Sandakan dengan mensasarkan peniaga dan pengunjung pasar malam sebagai audiens.

Program seumpama memberi peluang kepada Chan untuk mempromosikan diri sebagai calon bertanding selain meraih undi dan sokongan daripada orang ramai.

Selain itu, beliau turut menerangkan dengan lebih lanjut mengenai manifesto yang dilancarkan agar orang ramai lebih jelas dengan misi dan visi yang bakal dilakukan Chan sekiranya diberi mandat pada 26 September ini.

Terdahulu, Chan bersama jentera Umno turut mengedarkan risalah kempen dan pelitup muka kepada peniaga dan pengunjung pasar malam itu.

Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Sandakan, Muslie Mustafa dan Ketua Puteri Umno Sandakan, Hajah Shaninah Sani.- pr/BNN