KOTA KINABALU;Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah I Datuk James Ratib meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) menyelasaikan dengan segera masalah lif di bangunan Wisma Pertanian Sabah yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Beliau berkata kini hanya satu daripada enam lif di bangunan berkenaan dapat berfungsi dan lima lagi mengalami masalah dan diarahkan ditutup oleh pihak JKR.

“Saya difahamkan masalah lif ini telah berlaku sejak lebih tujuh tahun lepas dan sehingga kini masalah ini masih berlarutan. Hanya satu lif yang berfungsi namun kadang kala ia juga turut mengalami masalah.

“Bangunan ini mempunyai lapan tingkat dan setiap hari lif ini digunakan 400 hingga 500 warga kerja kementerian dan orang ramai yang melakukan sebarang urusan di sini. Ada kakitangan yang sakit dan mengandung terpaksa menggunakan tangga sehingga ke tingkat lapan.. kita tidak mahu masalah ini membebankan warga kerja di sini,” katanya.

Beliau berkata masalah yang dihadapi itu boleh menyebabkan imej kementerian terjejas sekiranya ada pelawat, khususnya pelabur luar yang datang ke pejabat kementerian itu.

Sehubungan itu, James meminta pihak JKR menyelesaikan masalah itu dalam tempoh satu bulan.

“Berikutan penularan COVID-19, kita perlu mengelakkan kesesakan dan sangat tidak sesuai sekiranya hanya satu lif digunakan oleh ratusan orang dalam masa sehari. Kita tidak mahu wujudnya kluster baharu di sini.

“Terpulang kepada pihak JKR sama ada untuk membaiki atau mengganti baharu lif berkenaan… apa yang penting masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” tambahnya. -pr/BNN