KOTA KINABALU: Pada hari ini, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri Sabah selama 14 hari bermula 13 Oktober 2020 (12.01 tengah malam) hingga 26 Oktober 2020 ini adalah untuk membendung penularan jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19.

2. Satu (1) lagi lokaliti iaitu Felda Umas, di Tawau, akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula 13 Oktober 2020 (12.01 tengah malam) hingga 26 Oktober 2020. Ini menjadikan sebanyak tujuh (7) lokaliti sedang melaksanakan PKPD seperti di Lampiran A.

3. Kerajaan Negeri merakamkan setinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri yang telah memberi perakuan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membantu Negeri Sabah sepenuhnya dalam usaha menangani pandemik COVID-19 di Sabah.
Komitmen ini telah disampaikan oleh YAB Perdana Menteri dalam mesyuarat Video Conferencing Majlis Keselamatan Negara pada hari ini yang turut disertai oleh saya. YAB Perdana Menteri telah meminta KKM mengoptimakan penggunaan semua sumber manusia dan aset yang ada untuk membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

4. Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, sebanyak 291 kes baharu COVID-19 di Sabah dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 4,621 kes. Seramai 2,688 pesakit sedang menerima rawatan di hospital seluruh Sabah dan seramai 1,898 pesakit dilaporkan telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital. Hari ini mencatatkan dua (2) kematian yang menjadikan jumlah kematian di negeri ini adalah tiga puluh lima (35) orang.

5. Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri telah mengagihkan sebanyak 9,409 bakul makanan (food basket) kepada penduduk yang terkesan di daerah-daerah yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti berikut:

i). Daerah Lahad Datu = 2,183
ii). Daerah Semporna = 3,673
iii). Daerah Kunak = 1,053
iv). Daerah Tawau = 2,000
v). Daerah Sandakan = 500

Sasaran pengagihan bakul makanan adalah kepada Ketua Isi Rumah bagi lokaliti yang diisytiharkan sebagai PKPD dan Ketua Isi Rumah yang diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

6. Kerajaan Negeri amat mengharapkan agar penduduk Sabah memberikan kerjasama dan mematuhi arahan pelaksanaan PKPB di negeri ini. Ianya merupakan satu tindakan yang perlu dilakukan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19. Perkhidmatan Perlu (essential services) masih beroperasi dan barang keperluan (essential goods) untuk memenuhi keperluan asas penduduk masih boleh diperoleh seperti biasa. Kerajaan Negeri akan memastikan agar bekalan makanan dan barangan perlu sentiasa mencukupi. Dalam tempoh pelaksanaan PKPB, aktiviti ekonomi masih berjalan seperti biasa tertakluk kepada pematuhan SOP yang disediakan oleh KKM.

7. Kerajaan Negeri merayu agar semua penduduk di negeri ini untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan menjadikan budaya baharu dalam kehidupan harian:
• Elakkan 3S (3C) iaitu jauhi kawasan sesak (crowded place), elakkan kawasan sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).
• Amalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau sanitizer (wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan amaran (warn) daripada KKM.

Sekian.

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN & PERUMAHAN/

MENTERI KEWANGAN II