KOTA KINABALU: Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita sekali lagi diizinkan Tuhan bersama pada detik memperingati tanggal bersejarah iaitu sempena Maulidur Rasul SAW iaitu sejarah lahirnya Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW yang diutus untuk membawa rahmat kepada seluruh alam.
2. Walaupun Maulidur Rasul SAW kali ini tidak dapat kita sambut sepertimana tahun-tahun sebelum ini, namun semangat dan matlamat daripada sambutan itu masih boleh kita terjemahkan dalam kehidupan kita. Biarpun kali ini tiada perarakan dan perhimpunan sempena hari besar ini, kerana kita berhadapan dengan ujian Covid-19, namun objektif dari perayaan ini boleh kita capai dengan cara yg lain. Norma baharu dalam menyambut maulidur Rasul SAW ialah bagaimana kita mengajak sesama kita untuk menghayati serta mencontohi ajaran Rasulullah SAW dalam kita menghadapi dugaan Covid-19 yang melanda negara khasnya negeri kita, negeri Sabah yang tercinta.
3. Seperkara yang diingatkan oleh Rasulullah SAW dalam kita menghadapi apa sahaja bentuk ujian dan masalah, ialah sifat sabar, bermuafakat, berkerjasama dan berusaha serta bertawakal kehadrat Allah SWT. Dalam menghadapi pendemik yang melanda seluruh dunia ini, kita tidak boleh panik apatah lagi saling mencari salah orang lain. Belajarlah dengan apa yang diajarkan oleh Nabi kita yang tercinta tentang semangat kerjasama dan tolong menolong tanpa mengira apa bangsa dan agama kita dengan mematuhi segala peraturan dan arahan pihak berwajip di samping memberi sokongan, kerjasama serta penghargaan dan semangat kepada petugas barisan hadapan kita di sektor kesihatan mahupun di sektor keselamatan dan di mana jua mereka berada.
4. Salah satu ciri keindahan hidup sejagat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ialah menjaga kebersihan dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri dan orang lain. Covid 19 ini mengajar kita betapa pentingnya menjaga kebersihan diri kita, rumah kita serta lingkungan persekitaran kita. SOP seperti kerap membasuh tangan menjaga kebersihan diri sebenarnya adalah terjemahan daripada ajaran Nabi yg perlu kita hayati dan amalkan.
5. Akhirnya saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul SAW dan berdoalah kita agar negeri dan negara kita serta dunia keseluruhannya akan segera pulih. Amin Ya Rabbal Alamin.
Sekian, Wabillahi Taufik Wal hidayah wasssalamu ‘Alaikum warahmatullahi Ta’ala Wabarakatuh.-
YAB DATUK SERI PANGLIMA HAJI HAJIJI HAJI NOOR
KETUA MENTERI SABAH
12 RABIUL AWAL 1442H /29 OKTOBER 2020