KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 288 kes. Jumlah kumulatif ialah sebanyak 23,383 kes. Hari ini empat (4) kes kematian dicatatkan iaitu dua (2) di Daerah Kota Kinabalu dan dua (2) di Tawau. Takziah kepada semua keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 372 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital. Manakala, seramai 2,346 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 685 orang di hospital dan 1,661 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 63 orang dan 18 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Pada hari ini, terdapat satu (1) kluster baharu di Daerah Kota Kinabalu iaitu: (i) Kluster Matambai mencatatkan sebanyak 21 kes.

Daripada 288 kes positif COVID-19 hari ini, sebanyak 114 kes (39.58%) adalah dari Daerah Tawau, Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang yang berpunca dari saringan kontak rapat. Selebihnya iaitu 174 kes adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,010 katil. Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah sebanyak 5,618 katil menjadikan jumlah keseluruhan 6,628 katil dengan penambahan sebanyak tujuh (7) buah katil di PKRC Penampang. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 35.40%.

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) DI PENEMPATAN TELIPOK DAN KG NUMBAK, KOTA KINABALU

Sebagaimana yang dimaklumkan dalam kenyataan media semalam Penempatan Telipok dan Kg Numbak, Kota Kinabalu telah diletakkan di bawah PKPD. Kedua-dua lokaliti ini mempunyai penduduk yang padat iaitu berjumlah sekitar 21 ribu orang.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan mula melaksanakan ujian saringan (screening) COVID-19 di kedua-dua lokaliti ini bermula esok hari bagi mengesan penularan jangkitan virus COVID-19 ini.

Makluman ini adalah sebagai satu peringatan awal bahawa hasil ujian mungkin akan mengakibatkan kenaikan mendadak jumlah positif kes COVID-19 bagi Daerah Kota Kinabalu dalam tempoh dua (2) hingga tiga (3) hari akan datang. (bergantung kepada proses ujian yang dilakukan)

PENAMATAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN (PKPD) DI PUSAT TAHANAN SEMENTARA (PTS) KOTA KINABALU, PENJARA KEPAYAN DAN KUARTERS PENJARA TAMAN MAT SALLEH KG MATAMBAI

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di PTS Kota Kinabalu, Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh Kg. Matambai yang dijangka tamat pada hari ini, 16 November 2020.

KKM telah melaksanakan sebanyak 1,824 saringan di PTS Kota Kinabalu dan merekodkan sebanyak 425 kes positif COVID-19 manakala 3,970 saringan di Penjara Kepayan dan merekodkan 1,857 kes positif COVID-19.

Walau bagaimanapun sehingga 14 November 2020, bilangan kes adalah terkawal dengan hanya terdapat 25 kes aktif di PTS Kota Kinabalu dan 1 kes aktif di Penjara Kepayan dan kesemuanya telah menerima rawatan.

Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, Sidang Khas MKN hari ini bersetuju menamatkan PKPD di PTS Kota Kinabalu, Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh Kg. Matambai hari ini, 16 November 2020 seperti dijadualkan.

Walau bagaimanapun, kesemua penduduk di lokaliti ini masih tertakluk kepada SOP PKPB yang dilaksanakan di seluruh Negeri Sabah.

BANTUAN BAKUL MAKANAN (FOOD BASKET)

Pengagihan bantuan bakul makanan (food basket) kepada golongan sasar berjalan lancar. Sehingga hari ini, sebanyak 173,658 bakul makanan telah diagihkan.

LAPORAN SEKATAN JALAN RAYA (SJR), PENGUATKUASAAN PERAIRAN SABAH, SANITASI DAN HEBAHAN UMUM INFO ON WHEELS

Sebanyak 72 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 41,560 kenderaan. Daripada jumlah tersebut, 115 buah kenderaan diarah berpatah balik manakala 16 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga telah melaksanakan 98 hebahan melalui kereta peronda. Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 97.63%.

Tiga Daerah mencatatkan kadar pematuhan yang tinggi ialah Kinabatangan (99%), Sipitang (99%) dan Kota Kinabalu (99%). Manakala daerah yang mencatatkan kadar pematuhan yang terendah ialah Semporna (95%), Kota Belud (96%) dan Ranau (96%).

Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 31 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 25 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi di 13 premis di empat (4) buah daerah iaitu Tawau, Kinabatangan, Semporna dan Kota Marudu.

Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 114 lokasi di 16 buah daerah. Hebahan dibuat dalam empat (4) bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin, Bahasa Kadazan dan Bahasa Bajau.

Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

#kitajagakita #stayhome #staysafe

#workfromhome
#normabaharu

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTER KEWANGAN II
16 November 2020