KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 660 kes. Jumlah kumulatif ialah sebanyak 24,929 kes. Hari ini dua (2) kes kematian dicatatkan iaitu masing- masing di Daerah Sandakan dan Lahad Datu. Takziah kepada semua keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 419 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital.
Manakala, seramai 2,202 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 646 orang di hospital dan 1,556 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 74 orang dan 15 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Pada hari ini, tiada kluster baharu dilaporkan.

Daerah Sandakan mencatatkan kes tertinggi pada hari ini. Daripada 316 kes yang direkodkan, sebanyak 218 kes adalah daripada Kluster Penjara, Kluster Jambatan B (18 kes), Kluster Bomba (9 kes), Kluster Karamunting (3 kes), Kluster Mesra (2 kes) dan Kluster Bongaya (1 kes). Manakala saringan kontak rapat (55 kes), saringan bergejala (7 kes) dan masing-masing satu (1) kes daripada saringan kemasukan hospital, saringan masuk kerja dan saringan Brought In Dead (BID).

Manakala Daerah Lahad Datu pula, mencatatkan kes kedua tertinggi iaitu sebanyak 105 kes. Daripada jumlah ini, Kluster Sabaru (91 kes), Kluster Haven (1 kes), saringan bergejala (11 kes), saringan komuniti (1 kes) dan saringan kendiri (1 kes).

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 990 katil. Sementara, bilangan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah sebanyak 5,488 katil. Ia menjadikan jumlah keseluruhan katil pada hari ini adalah sebanyak 6,478 katil dengan peratus penggunaan 33.99%.

PENGISYTIHARAN DARURAT BAGI PILIHAN RAYA KECIL (PRK) PARLIMEN (P.185) BATU SAPI, SANDAKAN

Darurat diisytiharkan di Bahagian PRK Parlimen (P.185) Batu Sapi, Sandakan bertujuan untuk membatal dan menangguhkan PRK Batu Sapi demi melindungi nyawa rakyat. Kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan perisytiharan darurat ini. Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di kawasan Parlimen Batu Sapi. Pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu serta peraturan di bawah PKPB yang sedang berkuat kuasa.
Lima faktor utama PRK Batu Sapi ditangguhkan:
I. Pertama – Faktor ancaman terhadap kesihatan awam;
II. Kedua – Kekangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan petugas pilihan raya;
III. Ketiga – Pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan;
IV. Keempat – Kebimbangan risiko jangkitan dalam kalangan pengundi terutamanya warga emas; dan
V. Kelima – Kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu
Sapi sekiranya penularan COVID-19 berlaku secara mendadaka selepas PRK.

BANTUAN BAKUL MAKANAN (FOOD BASKET)

Sehingga hari ini, sebanyak 194,885 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar.

LAPORAN SEKATAN JALAN RAYA (SJR), PENGUATKUASAAN PERAIRAN SABAH, SANITASI DAN HEBAHAN UMUM INFO ON WHEELS

Sebanyak 71 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 55,174 kenderaan. Daripada jumlah tersebut, 97 buah kenderaan diarah berpatah balik manakala 29 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga telah melaksanakan 77 hebahan melalui kereta peronda. Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 97.92%.

Tiga daerah mencatatkan kadar pematuhan yang tinggi ialah Kinabatangan (99%), Sipitang (99%) dan Kota Belud (99%).

Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 21 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 16 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan. Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi
di enam (6) premis di empat (4) buah daerah iaitu Tawau, Kinabatangan, Semporna dan Lahad Datu.

Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 101 lokasi di 18 buah daerah. Hebahan dibuat dalam empat (4) bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin, Bahasa Kadazan dan Bahasa Bajau.

Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan
rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

#kitajagakita #stayhome #staysafe #workfromhome #normabaharu

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II