KOTA KINABALU: Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 267 kes, menjadikan jumlah kumulatif
sebanyak 29,038 kes. Tiga (3) kes kematian dilaporkan iaitu dua (2) kes di Daerah Kota Kinabalu dan satu (1) kes di Daerah Tawau. Takziah kepada semua keluarga yang terlibat.

Pada hari ini, seramai 406 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 25,973 orang. Sejumlah 2,288 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 614 orang di hospital dan 1,674 orang di PKRC. Bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 62 orang dan 11 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).

Pada hari ini, terdapat dua (2) kluster baharu di Daerah Kota Kinabalu iaitu:
i. Kluster View Kolombong mencatatkan sebanyak 31 kes menjadikan jumlah kumulatif 40 kes; dan
ii. Kluster Talang-Talang mencatatkan sebanyak satu (1) kes hari ini dan jumlah kumulatif 18 kes.

Daripada 267 kes positif COVID-19 hari ini, 116 kes (43.45%) adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 54 kes (20.22%) daripada saringan kluster baharu dan sedia ada, saringan bergejala 31 kes (11.61%), saringan komuniti 40 kes (14.98%) dan 26 kes (9.74%) adalah dari lain-lain kategori.

Jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,007 unit. Sementara, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) adalah 5,866 unit menjadikan jumlah keseluruhan 6,873 unit. Terdapat pengurangan unit katil hari ini di PKRC Pusat Tahanan Sementara Tawau berjumlah 300 katil dan Penambahan 10 katil di PKRC Seri Bayu, Kota Belud. Peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 33.29%.

BANTUAN BAKUL MAKANAN (FOOD BASKET)

Sehingga hari ini, sebanyak 260,880 bakul makanan telah diagihkan kepada
golongan sasar.

LAPORAN SEKATAN JALAN RAYA (SJR), PENGUATKUASAAN PERAIRAN SABAH, SANITASI DAN HEBAHAN UMUM INFO ON WHEELS

Sebanyak 69 SJR telah dilaksana melibatkan pemeriksaan 51,093 kenderaan. Daripada jumlah tersebut, 78 buah kenderaan diarah berpatah balik. Tiada tangkapan namun 14 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar SOP COVID-19. PDRM juga telah melaksanakan 68 hebahan melalui kereta peronda.

Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin yang melibatkan 49 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 15 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan. Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi
di tujuh (7) premis di lima (5) buah daerah iaitu Kinabatangan, Beluran, Semporna, Tawau dan Keningau.

Hebahan umum Info On Wheels Jabatan Penerangan Sabah mengenai pematuhan SOP, amalkan 3W, elakkan 3C dan pembudayaan norma baharu telah dilaksanakan di 115 lokasi di 18 daerah. Hebahan dibuat dalam lima (5) bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, Bahasa Dusun, Bahasa Bajau dan Bahasa Iranun.

BANTUAN LOGISTIK

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mempunyai 241 buah kenderaan yang sedia digunakan bagi tujuan bantuan logistik COVID-19.  Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44 buah kenderaan digunakan untuk mengangkut pesakit COVID-19, manakala 35 buah kenderaan digunakan untuk menghantar bakul makanan ke lokasi sasaran. Baki 162 kenderaan pelbagai jenis bersedia digerakkan jika perlu.

Kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan
rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian. Masyarakat dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan dengan kadar segera sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19.

#kitajagakita #stayhome #staysafe #workfromhome #normabaharu

YB MENTERI KERAJAAN TEMPATAN DAN PERUMAHAN DAN MENTERI KEWANGAN II
1 Disember 2020