KOTA KINABALU : Suasana sambutan perayaan Krismas yang disambut suram pada tahun ini tetap mampu mengeratkan hubungan dan menyatupadukan rakyat, kata Pemimpin Pembangunan Masyarakat bagi Dewan Undangan Negeri Segama, Mizma Appehdullah.
Menurut beliau, ketika musim perayaan ini, setiap rakyat perlu sentiasa peka dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan wabak koronavirus tidak terus merebak di negeri ini.
“Ketika dilanda wabak ini, kita tidak ada banyak pilihan kecuali terus mengamalkan SOP meskipun ketika menyambut perayaan supaya dapat menghapuskan wabak secepat mungkin.
“Saya percaya jika semua pihak bekerjasama, perayaan pada tahun-tahun akan datang kembali meriah dan kita dapat hidup dalam suasana normal semula,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mewakili kerajaan negeri menyerahkan kira-kira 550 hamper Krismas kepada keluarga yang memerlukan dalam mukim Segama bagi menceriakan golongan tidak bernasib baik akibat penularan pandemik Covid-19. Hadir sama Pemaju Masyarakat Segama, Anchari Tubayl, Pemaju Mukim Segama, Rospihag Tambulak serta kakitangan Unit PPM Dun Segama.
Mizma berkata, pandemik telah menyebabkan banyak aktiviti terpaksa dihentikan termasuk majlis-majlis perayaan supaya wabak dapat disekat dengan lebih berkesan.
“Kita faham bahawa rakyat masih risau kemungkinan akan wujud kluster baharu ketika aktiviti kunjung mengunjung diadakan. Apa yang penting dalam hal ini, adalah pelaksanaan SOP dan sentiasa mengikuti arahan terkini dari KKM.
“Setiap warga dalam DUN ini pastinya memahami keghairahan saudara dan rakan kita yang merayakan perayaan ini, seeloknya kita semua sentiasa bertoleransi antara satu sama lain, saling ingat mengingatkan akan pentingnya pelaksanaan SOP,” katanya.
Tambah beliau, apa yang dilakukan sekarang adalah norma baharu kehidupan yang memerlukan kerjasama dan pengorbanan daripada semua meskipun tidak selesa dan kadangkala menyusahkan.
“Jika semua anggota masyarakat memainkan peranan dan saling bertolak ansur dalam aspek sebegini tidak cuma penularan Covid-19 dapat kita halang malah tidak hairan jika DUN ini bakal menjadi antara DUN yang paling harmoni dan sentiasa aman damai walau didiami oleh rakyat daripada pelbagai bangsa dan agama.
“Inilah sebenarnya kelebihan kita di Sabah, toleransi yang wujud sejak sekian lama, bukan agama atau bangsa yang menjadi ukuran tapi kesepaduan hidup dan saling memahami kekal menjadi tunjang kebersamaan dan kesepakatan,” katanya lagi.-pr/BNN