Wanita UMNO Sabah buat laporan terhadap Guan Eng

0
128
LAPORAN POLIS... Jainab (empat dari kiri) bersama Juriah (tiga dari kiri), Musliati (lims dari kiri) menunjukkan salinan laporan polis di luar balai polis Karamunsing.

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita UMNO Sabah hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur hasutan dan rasis.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Wanita UMNO Negeri, Datuk Dr. Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid mewakili 25 Wanita UMNO Bahagian di Balai Polis Karamunsing,, pagi tadi.

Beliau diiringi oleh Naib Ketua Wanita UMNO Sabah, Puan Juriah Palasin, Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri, Hajah Musliati Muslimin dan pemimpin-pemimpin wanita UMNO bahagian Sepanggar.

Dalam laporan polis itu, Wanita UMNO Sabah mendesak agar Lim disiasat dibawah Akta Hasutan kerana kenyataannya berbaur hasutan, berunsur fitnah dan boleh mencetuskan persengketaan kaum.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu, Jainab berkata, Guan Eng dipetik portal Malaysiakini pada 6 Mac 2019, menyifatkan kerjasama antara parti UMNO dan PAS sebagai “pengisytiharan perang” ke atas masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam dibawah panji penyatuan Melayu.

Katanya, walaupun pada hari yang sama Guan Eng telah mengubah kenyataannya selepas tu daripada frasa “pengisytiharan perang” kepada “menyasarkan”.

“Kenyataan itu menunjukkan Guan Eng sengaja membangkitkan perasaan benci selain menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Sebagai menteri dan pemimpin negara, perkara berkaitan isu perkauman ini tidak wajar dibangkitkan oleh beliau. Dimana sikap saling menghormati yang perlu dimiliki oleh semua rakyat Malaysia termasuk Guan Eng sendiri”, tegasnya.

Sehubungan itu katanya, Wanita UMNO Sabah mendesak pihak Polis dan Peguam Negara segera menyiasat Guan Eng dibawah Akta Hasutan.

Jainab berkata, Polis dan Peguam Negara perlu memandang serius kenyataan provokasi Setiausaha Agung DAP itu yang dengan sengaja membangkitkan perasaan benci selain, menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.-pr/BNN