Gabungan parti pembangkang Sabah desak Guan Eng mohon maaf terbuka, letak jawatan

0
259
Ir. Abdul Aziz Julkarnain (barisan depan, tiga dari kiri) bersama Zulzairm (barisan depan, empat dari kiri), Wong (dua dari kiri) dan pemimpin pemuda BN dan Pas menunjukkan salinan laporam polis dan bantahan mereka di luar balai polis Tanjong Aru.

KOTA KINABALU: Gabungan pergerakan pemuda parti-parti pembangkang Sabah hari ini membuat laporan polis terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung kenyataannya yang berunsur rasis dan mengamcam perpaduan rakyat.

Parti-parti tersebut terdiri daripada Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Pemuda PAS, Pemuda MCA Sabah dan Pemuda PBRS.

Laporan polis itu dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain mewakili gabungan itu di ibu Pejabat Polis (lPD) Tg Aru.

“Kami barisan Pergerakan Pemuda daripada parti UMNO, PAS, MCA, dan PBRS telah membuat laporan polis berkenaan kenyataan rasis dan chauvinis Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa bahawa kerjasama UMNO-PAS dianggap sebagai ‘declaration of war on Non-Malays (isyarat perang terhadap kaum bukan melayu)”, katanya kepada pemberita di luar Balai Polis Tanjong Aru.

Katanya, laporan polis itu sebagai menghantar isyarat jelas bahawa rakyat berbilang kaum dan agama tidak sesekali merestui perlakuan dan pernyataan bersifat rasis daripada mana-mana pihak, apatah lagi daripada seorang Menteri Kanan Kerajaan, Lim Guan Eng.

“Justeru, kami sepakat mendesak agar Lim Guan Eng segera disiasat dan didakwa di bawah Akta Hasutan, memohon maaf terbuka
kepada seluruh rakyat Malaysia dan seterusnya meletak jawatan sebagai Menteri Kanan Persekutuan.

“Ini kerana kenyataan beliau yang tidak bertanggungjawab itu, mampu mencetuskan ketegangan kaum dan mewujudkan ketidak-harmonian rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini!

“Kami ingin mengingatkan Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya bahawa keharmonian dan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini sudah lama terjalin dan terpupuk sejak pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu lagi.

“Jangan cuba-cuba menghancurkan keharmonian dan perpaduan yang terjalin itu hanya untuk keuntungan politik yang tidak matang, iaitu dengan menakut-nakutkan rakyat dengan naratif tidak bertanggungjawab iaitu ‘declaration of war on non-Malays’.

“Hormatilah Rukun Negara yang kelima iaitu ‘Kesopanan & Kesusilaan’ demi bangsa Malaysia yang bersatu padu dan berjaya”, tegas Abdul Aziz.

Hadir sama menyokong laporan ini ialah Ketua Pemuda PAS SabaH, Ustaz Zulzaiem Hilmee Abidin, Ketua Pemuda MCA Sabah, Lim Kian On, Ketua Pemuda PBRS, Dr. Edwin Laimin, Dato’ Datu Md Khuddar (Pengerusi NGO Persatuan Masyarakat Sabah), Ghazalie Ansing (Naib Ketua Pemuda UMNO Sabah) dan barisan kepimpinan lain pemuda BN dan PAS.-pr/BNN