Ibu bapa jangan ambil remeh menyuarat PIBG : Japlin

0
64
Terima kasih...Japlin menerima cenderahati daripada pihak penganjur selepas merasmikan Mesyuarat Agung PIBG di Dewan Terbuka SK Sembirai Kota Belud semalam.
KOTA KINABALU: Adun Usukan Datuk Japlin Akim meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru dapat membantu pihak sekolah bagi melaksanakan pelbagai program kecemerlangan.
Beliau turut mengingatkan kepada ibu bapa supaya tidak memandang remeh terhadap mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan guru (PIBG) yang diadakan di sekolah masing-masing.
Jelasnya banyak keputusan yang dibuat dalam mesyuarat PIBG mendapat perhatian serius oleh kerajaan. Jangan pandang ringan mesyuarat PIBG.
“Banyak dasar yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran selepas mengambil kira pandangan atau idea yang dilontarkan ibu bapa dan guru dalam mesyuarat itu.
“Mesyuarat PIBG diadakan bertujuan menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah tersebut, “ katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung PIBG di Dewan Terbuka SK Sembirai Kota Belud semalam.
Hadir sama Guru Besar SK Sembirai Kota Belud, Mudin Mohamad dan Pengerusi PIBG Ridih Tangoh serta ibu bapa.
Japlin berkata, mesyuarat PIBG juga mempertingkatkan sistem pengurusan dan pentadbiran sekolah.
Katanya anak-anak juga akan lebih bersemangat untuk bersekolah jika ibu bapa melibatkan diri dalam program sekolah termasuk mesyuarat PIBG.
“Ada segelintir ibu bapa sendiri tidak begitu menggalakkan anak-anak mengambil bahagian dalam aktiviti persatuan, kelab dan unit beruniform di sekolah. Usaha-usaha berterusan pihak sekolah amat penting untuk memastikan para pelajar sentiasa terlibat dalam kegiatan luar bilik darjah,” ujarnya.
Jelas Japlin sekolah harus mempelbagaikan aktiviti sewaktu perjumpaan kegiatan kokurikulum untuk menarik minat pelajar. Guru berperanan menyampaikan ilmu, mendidik dan membantu proses sosialisasi pelajar di sekolah.
“Ibu bapa hendaklah memainkan peranan membantu ke arah kecemerlangan anak-anak sewaktu mereka berada di rumah.
“Pembangunan modal insan merupakan salah satu aspek yang diberi tumpuan utama oleh kerajaan dalam usaha melahirkan masyarakat luar bandar yang berdikari, bekerjasama, bertanggungjawab, berdaya maju dan berdaya tahan,” jelasnya.
Tegas beliau penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum dapat ditingkatkan dengan memperbanyak aktiviti luar. Hal ini penting kerana kokurikulum yang dilaksanakan di dalam darjah membosankan pelajar seolah-olah hadir ke sekolah untuk belajar.-pr/BNN