ADUN Balung kurang prihatin masalah rakyat -Ghazalie

0
125
KRITIKAL...Penduduk kampunh mencuci piring dan pakaian di sungai

TAWAU: UMNO Bahagian Tawau hari ini menyelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Haji Osman Jamal yang kurang prihatin terhadap nasib dan keperluan rakyat kawasan yang diwakilinya.

Pemangku Ketuanya, Encik Ghazalie Haji Ansing mendesak agar Osman memulakan kerja sebagai Wakil Rakyat dan bukan sibuk berpesta dengan lompatan-lompatan beliau.

“Saya membuat rondaan di beberapa kampung di kawasan Balung dan telah melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat terutama masalah air di Kampung Balung Kokos paling kritikal.

“Mengikut maklumat dari penduduk kampung bekalan air telahpun terputus semenjak hari Selasa yang lalu.

“Seharusnya ADUN Balung mengambil initiatif dan alternatif yang proaktif dalam membantu penduduk yang telah terputus bekalan air berhari-hari”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ghazalie yang juga Pengarah Komunikasi dan Strategik UMNO Sabah berkata, Osman kini merupakan Wakil Rakyat Kerajaan dan beliau seharusnya bertindak segera menyelesaikan masalah rakyat Balung.

“Osman patut memberi keutamaan menyelesaikan masalah rakyat di kawasannya daripada sibuk dengan politik tukar parti.

“Sekiranya Osman kurang pasti apa tindakan yang harus di buat, beliau boleh menghubungi saya agar saya boleh memberikan cadangan kepada beliau”, tambahnya.

Pada 4 Mac lalu, Osman mengumumkan keluarkan PKR yang disertai pada Julai, untuk bersama parti Warisan.

Osman, yang menang atas tiket Barisan Nasional pada pilihan raya lepas, adalah salah seorang daripada 6 wakil rakyat BN yang mengisytiharkan kesetiaan pada Warisan 2 hari selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas.-pr/BNN