TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan bantuan
peralatan nelayan kepada 28 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)
Sulaman di Dewan Terbuka Masjid Haji Noor Kampung Serusup, hari ini.

15 daripada mereka menerima bantuan peralatan nelayan dibawah Peruntukan Khas Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.12 Sulaman.

Sementara 13 lagi menerima bantuan dibawah Program Basmi Muskin Tegar Keluarga
Malaysia (BMTKM) dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) Fasa 1, tahun 2022.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman dalam ucapannya
berkata, Kerajaan Negeri berusaha mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini
dengan memberikan pelbagai bantuan kepada golongan sasar.

Katanya, Kerajaan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) merancang pelbagai
program bantuan khusus untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Inilah perjuangan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Barisan Nasional
(BN) yang fokus membangun negeri ini dan juga kesejahteraan rakyat”, tegasnya.

Beliau juga mengingatkan para penerima bantuan agar menggunakan bantuan peralatan
nelayan itu sebaik mungkin bagi meningkatkan sosioekonomi dan pendapatan keluarga.

“Dengan pelbagai bantuan yang diberikan oleh kerajaan, rakyat sendiri juga perlu
berusaha membantu keluarga mereka agar dapat keluar daripada kepompong
kemiskinan”, tegasnya.

Sementara itu, Hajiji yang Pengerusi GRS juga meminta rakyat negeri ini tanpa mengira
bangsa dan kepercayaan agar menyokong calon-calon yang diketengahkan oleh
Kerajaan GRS-BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

“Siapa juga calon yang telah dipilih oleh pucuk pimpinan parti GRS dan BN, kita mesti
sokong dan pastikan calon-calon kita menang di seluruh Sabah”, tegasnya.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk
Abd.Kassim Razali, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Haji Johari
Saiman dan Pegawai Daerah Tuaran, Encik Syhrin Samsir.-pr/BNN