KOTA KINABALU: Pendedahan bahawa Pegawai Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP) didakwa mengemukakan maklumat kontrak yang tidak berkaitan kepada pihak polis yang menjalankan siasatan berhubung salah laku yang telah mereka laporkan, makin mengejutkan ahli-ahli Peladang yang selama ini telah mula hilang kepercayaan kepada pengurusan LPP, sejak pertuduhan tidak berasas oleh LPP yang mengakibatkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) digantung perlembagaannya pada tahun 2019.

Pegawai kanan LPP itu dilaporkan mengemukakan kontrak pembekalan baja bersubsidi bagi tahun 2018.

Difahamkan dokumen kontrak itu langsung tidak berkaitan dengan tuduhan salah laku dalam NAFAS yang telah dilaporkan oleh LPP kepada pihak polis.

Difahamkan LPP telah membuat laporan polis kononnya berlaku salah laku dalam isu kontrak pembekalan baja padi bersubsidi pada tahun 2017 melibatkan NAFAS dan syarikat bersekutunya.

Apabila pihak penyiasat meminta LPP mengemukakan bukti dan dokumen perjanjian berkenaan, pegawai LPP didakwa telah mengemukakan kontrak 2018 yang telah dipinda untuk digunakan sebagai kontrak 2017.

Menurut sumber, apabila pihak penyiasat mendapatkan satu salinan dokumen kontrak daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (dahulunya Kementerian Pertanian dan Asas Tani) mendapati ianya berbeza dengan bukti kontrak yang dikemukakan oleh pegawai LPP.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas, Datuk Ng Loi Tect ketika mengulas insiden itu berkata, ianya tidak patut berlaku.

Beliau turut mempersoalkan motif sebenar pegawai berkenaan mengemukakan dokumen bukti yang telah dipinda dan tidak selari dengan tuduhan kepada pihak berkuasa.

Pegawai tersebut mungkin terlupa tempat beliau membuat laporan adalah agensi/jabatan lain dan bukan LPP. Jika di LPP, dialah JURUAUDIT, PENYIASAT, PENDAKWA, dan juga PENGHUKUM atau (HAKIM), tetapi di agensi penyiasatan lain terdapat pemisahan fungsi-fungsi tersebut bagi mempastikan keadilan dapat ditegakkan.

“Adakah pegawai berkenaan sengaja mengemukakan bahan bukti yang telah dipinda serta tidak selari dengan tuduhan, hanya semata-mata bagi menganiaya NAFAS?”.

“Perbuatan sedemikian sungguh tidak beretika dan pegawai yang sengaja melakukan membuat yang mengelirukan itu wajar diambil tindakan”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ng, pihaknya memohon kepada Menteri MAFI, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee agar melihat semula dokumen yang di gunakan oleh LPP dalam hal berkaitan Penggantungan Perlembagaan NAFAS, kerana beliau dan ramai ahli ahli Peladang selaku pemegang Saham ingin kan pembelaan.

Katanya, keadilan perlu ditegakkan agar penjawat awam berkenaan tidak dengan sewenang-wenangnya membuat laporan dan tuduhan tidak berasas untuk menjatuhkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang di miliki oleh kami ahli ahli peladang hampir 1 juta orang.-pr/BNN