PUTATAN : Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah bersedia membantu proses pendaftaran golongan sasaran bagi menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.

Menterinya, Ir Shahelmey Yahya berkata, ini termasuklah langkah bantuan memudahkan pencapaian pangkalan data mereka yang layak melibatkan kumpulan sasar.

“Dari sudut kementerian, memang kumpulan sasar kita melibatkan warga emas, OKU, kanak-kanak, anak yatim semua, kita boleh membantu dari segi data base untuk mereka dapat menyertai program tersebut.

” Kita akan berhubung dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan melihat bagaimana kita membantu proses pendaftaran mereka yang kita sasarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam program derma darah di Masjid Nurul Iman, Kampung Pasir Putih, Putatan, hari ini.

Untuk rekod, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun dalam satu kenyataannya di ibu negara baru-baru ini mendedahkan golongan warga emas dan OKU perlu diberi keutamaan bagi fasa kedua program PICK.

Menurutnya, ini memandangkan golongan tersebut adalah berisiko tinggi kerana berada dalam satu kelompok secara kebiasaannya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan yang sama, Shahelmey turut menyeru kepada semua rakyat Sabah yang layak supaya menyertai program terbabit secara sukarela demi kepentingan awam.

“Program mendapatkan imunisasi Covid-19 ini adalah secara sukarela tapi kita menyeru semua rakyat yang layak mendapatkan vaksin.

“Ini kerana tujuannya bukan sahaja melindungi diri kita sendiri, tetapi kita melindungi masyarakat secara umum,” katanya.

Terdahulu, dalam program derma darah tersebut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N 24 Tanjung Keramat itu berkata, acara terbabit memain peranan penting dalam meningkatkan kesedaran terhadap sumbangan kepada bekalan tabung darah di negeri ini.

“Program derma darah anjuran Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Putatan ini amat dipuji dalam usaha kita memupuk kesedaran orang ramai dan menyumbang kepada bekalan tabung di hospital sedia ada.

” Saya juga berharap program murni sebegini akan terus diadakan di seluruh Sabah dari semasa ke semasa,” katanya.- pr/BNN