KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan mempermudahkan kegiatan perniagaan atau ‘ease of doing business’ dan mesra pelabur di Sabah dalam usaha mempertingkatkan kegiatan perniagaan serta menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, berkata ini sejajar dengan komitmen kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada agenda pembangunan ekonomi negeri dan menjayakan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan 2021-2025).
Hajiji menyatakan komitmen itu ketika menerima kunjungan hormat rombongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Pejabat Wilayah Sabah, yang diketuai Pengarahnya, Mohd Hijri Mat Rani, di Sri Gaya di sini pada Khamis (21 Januari 2021).
Kunjungan hormat itu disertai agensi di bawah MITI iaitu Pengarah MIDA Sabah, Wong Tiang Sing; Pengarah MATRADE Sabah, Azian Romlan; Pengarah SIRIM Sabah, Rommella Osmand dan Pengarah MIDF Sabah, Sudirman Alwi.
Hajiji turut meminta MITI bekerjasama rapat dengan agensi pelaburan negeri termasuk Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) yang baharu ditubuhkan untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara ke Sabah, kerana negeri ini mempunyai potensi besar selain kedudukannya yang strategik di rantau ini serta mempunyai sumber asli yang pelbagai.
MITI turut membentangkan pencapaian kelulusan pelaburan sektor pengilangan oleh MIDA melalui MITI untuk Sabah iaitu sebanyak RM6.46 bilion bagi 15 projek pada tahun 2019 dan sebanyak RM11.86 bilion bagi 12 projek untuk tahun 2020 (Januari – September)
Manakala prestasi jumlah perdagangan Sabah dengan antarabangsa, Semenanjung dan Sarawak pada tahun lalu (Januari – Oktober 2020) adalah sebanyak RM67.1 bilion iaitu membabitkan nilai eksport sebanyak RM33.9 bilion dan import sebanyak RM33.1 bilion.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan menegaskan usaha segera perlu dipertingkatkan untuk menjayakan beberapa pelaburan yang sedang dalam proses rundingan untuk dibangunkan di Sabah dalam sektor pengilangan komponen bateri untuk kenderaan elektrik, pembuatan kaca, pengurusan pelabuhan dan juga industri aeroangkasa.
“Saya akan memantau usaha semua pihak yang terbabit dalam menarik pelabur ke negeri ini, termasuk meminta laporan dari semasa ke semasa agar apa yang kita rancangkan khususnya untuk membangunkan ekonomi negeri ini dapat direalisasikan. Ini kerana kita mahu negeri ini dan rakyatnya menerima manfaat daripada pembangunan ekonomi yang dirancang,” tegasnya.
Sementara itu, semua pelaburan ini, sekiranya dapat direalisasikan dapat mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah, pulangan pendapatan langsung dan tidak langsung bernilai jutaan ringgit kepada negeri ini secara khususnya.-pr/BNN