KOTA KINABALU; Kerajaan Negeri melahirkan kebimbangan akan situasi perkembangan kes COVID-19 melibatkan sektor peladangan sawit di Sabah.

Sehingga 24 Januari 2021, sebanyak enam (6) kluster COVID-19 dilaporkan hasil daripada pelaksanaan saringan pekerja- pekerja asing di bawah Program PERKESO.

Daripada enam (6) kluster ini, sebanyak 254 kes positif yang melibatkan pekerja, kontak rapat keluarga serta individu bergejala yang tidak bekerja di ladang.

Kerajaan Negeri menghargai inisiatif pihak pemain industri peladangan untuk melaksanakan sekatan pergerakan keluar masuk pekerja-pekerja (locked down) secara sukarela di ladang masing-masing sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19 KECUALI bagi maksud pergerakan berikut :

(i) Wakil pengurusan untuk mendapatkan bekalan dan keperluan asas

(ii) Petugas saringan COVID-19

(iii) Pekerja pengangkutan hasil ladang

(iv) Anggota pengurusan yang diberi kebenaran

Pihak ladang diarah untuk melaksanakan ujian secara menyeluruh ke atas semua pekerja dalam tempoh 30 hari mulai 25 Januari 2021 yang melibatkan sebanyak 1,160 ladang estet dan 33,034 ladang pekebun kecil sawit di Sabah dengan jumlah pekerja sebanyak 153,250 orang.

Bagi ladang yang ada kes positif COVID 19, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia akan menutup operasi ladang dengan serta merta untuk memastikan kerja-kerja pencegahan dapat dilaksanakan.

Pembukaan semula operasi ladang adalah tertakluk kepada penilaian pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kerajaan Negeri akan memantau perkembangan situasi kes COVID-19 di sektor peladangan sawit di Sabah dari semasa ke semasa dan memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kerajaan Negeri juga menasihatkan agar semua pihak mengambil langkah berjaga- jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.-

YAB KETUA MENTERI SABAH 25 JANUARI 2021
“SABAH MAJU JAYA”