APMM merampas 401 karton rokok seludup

0
124
Rokok seludup
Rokok seludup

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu telah merampas sejumlah 401 karton rokok pelbagai jenama, 10 bungkus rokok tembakau serta 24 bungkus mercun pelbagai jenama dipercayai diseludup dari negara jiran dan cuba diniagakan ke daerah ini pada jam lebih kurang 5.50 petang, kelmarin.

Ketua Zon Maritim Lahad Datu, Leftenan Komander Maritim Radzil Allexender bin Raphael berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan tanggungjawab telah mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan berhampiran perairan Kampung Air Puyut, Lahad Datu.

“Apabila menyedari kehadiran bot APMM, bot suspek meluncur laju ke arah kawasan Pasar Ikan Lahad Datu dan berjaya melepaskan diri dari ditangkap. Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan, bot peronda telah menemukan beberapa bungkusan plastik hitam yang berisi muatan rokok dan mercun pelbagai jenama. Kesemua barang tersebut dipercayai telah dibuang dari bot suspek semasa dikejar oleh bot peronda APMM. Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM 22, 000” katanya.

Barang rampasan dibawa ke jeti Perikanan Lahad Datu dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut. Kes tersebut akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Bahan Letupan 1957.

Maritim Malaysia akan terus menjalankan tugas- tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Lahad Datu. Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi terus di talian 089-885727 pusat operasi Maritim Malaysia Lahad Datu atau di talian MERS 999 untuk sebarang kejadian kecemasan.-pr/BNN