KOTA KINABALU: Pegawai Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP) telah membuat laporan polis pada tahun 2018, menuduh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memberikan kerja membekal baja kepada sebuah syarikat tanpa kelulusan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) pertubuhan itu.

Difahamkan pegawai LPP sengaja memutar belitkan fakta sebenar dan membuat tuduhan tidak berasas terhadap NAFAS.

Pegawai berkenaan seolah-olah mahu menggambarkan kepada polis bahawa terdapat salah laku oleh NAFAS dalam pemberian kontrak pembekalan baja kepada syarikat itu.

Walaupun pegawai LPP mengetahui fakta sebenar berhubung pelantikan syarikat itu, namun beliau dilaporkan sengaja mengelirukan pihak polis dengan tuduhan yang tidak benar.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kinabalu, Datuk Jaimin Samitah ketika mengulas laporan polis itu berkata, tuduhan oleh Pegawai LPP terhadap NAFAS adalah tidak tepat dan tidak berasas.

“Berdasarkan laporan yang saya terima, sebenarnya NAFAS melantik syarikat bersekutunya untuk mendapatkan sumber baja bagi tujuan pembekalan baja oleh NAFAS dan bukan syarikat luar yang tiada kaitan dengan NAFAS.

“Mengikut amalan biasa pada masa itu, pelantikan bagi sesuatu kerja adalah di bawah proses biasa pengurusan NAFAS melalui pemantauan oleh bahagian perolehan, bukan diputuskan oleh Ahli Jemaah Pengarah NAFAS”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mengikut amalan semasa juga, syarikat bersekutu NAFAS, adalah juga panel pembekal kepada NAFAS dan kerja- kerja menyediakan bekalan baja adalah berdasarkan rekod lampau (“Track Record”) kemampuan membekal syarikat bersekutu serta tidak menjejaskan operasi dan kewangan NAFAS.

“Keperluan pembekalan adalah mengikut keperluan operasi pada masa dan ketika keputusan dibuat melalui mesyuarat – mesyuarat operasi di peringkat pengurusan NAFAS”.

“Tiada pembekalan sumber daripada syarikat luar selain daripada Syarikat subsidiari dan syarikat bersekutu NAFAS bagi setiap pembekalan baja yang dibuat”.

“Mengutamakan syarikat subsidiari dan syarikat bersekutu adalah bagi menjamin keuntungan kumpulan NAFAS tidak mengalir keluar dengan setiap keuntungan daripada syarikat subsidiari dan syarikat bersekutu akan menyumbang pulangan keuntungan kepada Kumpulan NAFAS”, jelas Jaimin.

Menurutnya, Pegawai LPP pasti tahu prosedur itu dan proses tersebut.

“Saya hairan kenapa beliau melaporkan kepada polis dan membuat tuduhan tidak berasas terhadap NAFAS. NAFAS adalah pertubuhan yang menjalankan perniagaan di samping aktiviti sosial, semestinya NAFAS membuat keputusan dalam urusan perniagaan untuk menjamin keuntungan dengan melengkapkan keperluan pelanggan supaya keuntungan dapat disalurkan kepada Ahli. Apa motif beliau sebenarnya?”-pr/BNN