SIPITANG: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Sipitang dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N35 Sindumin terus giat mengagihkan bantuan bakul makanan kepada keluarga yang dikuarantin di rumah.

Setakat ini sebanyak 275 bakul makanan bantuan daripada Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah berjaya diagih kepada ketua isi rumah (KIR) yang dikuarantin di 32 tempat dan kampung di Sipitang.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N35 Sindumin, Encik Sani Miasin berkata, usaha menghantar bantuan bakul makanan dapat dijalankan dengan segera adalah hasil usaha dan kerjasama team PKOB dan UPPM Sindumin dengan bantuan Pemaju Mukim, JPKK, Ketua Kampung dan pemimpin masyarakat setempat.

“Kerjasama erat kedua-dua pihak (PKOB dan UPPM Sindumin) telah membolehkan bantuan bakul makanan diagihkan dengan segera kepada KIR yang dikuarantin.

“Ini termasuk KIR yang tercicir dan lambat mendapat bakul makanan kerana lokasi kampung yang agak jauh seperti Kampung Iburu, Kampung Meligan, Long Pasia dan lain-lain.

“Saya bagi pihak UPPM Sindumin mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Daerah Sipitang, Encik Masawi Haji Salleh dan pasukannya kerana begitu pro-aktif dan memberi kerjasama yang baik sehingga berjaya merealisasikan misi dan amanah ini”, katanya di sini, hari ini.

Sani berkata, kurang dari tempoh seminggu team penghantar bakul makanan telah berjaya menghantar sejumlah 275 bakul makanan kepada KIR yang dikuarantin di rumah.

Sani berkata, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat prihatin dengan keadaan dan nasib keluarga yang dikuarantin dan bantuan bakul makanan diharap dapat membantu mengurangkan beban mereka.

“KIR yang mempunyai kontak rapat kepada pesakit Covid-19 perlu menjalani kuarantin di rumah sebagai langkah pencegahan terhadap penularan wabak itu.

“Kita berharap keluarga yang dikuarantin agar banyak bersabar. Bagi KIR yang masih belum menerima bantuan bakul makanan atau nama mereka tercicir diminta agar segera menghubungi urusetia PKOB Daerah Sipitang, Pegawai Daerah dan UPPM Sindumin”, tambahnya.

Beliau berkata, isu kelewatan PKOB Sipitang dan Kerajaan GRS lambat menghantar bakul makanan kepada keluarga yang menjalani kuarantin di rumah kini tidak lagi berbangkit.

Sani berharap parti-parti pembangkang tidak mempolitikkan isu pengagihan bakul makanan kepada keluarga yang dikuarantin.-pr/BNN

Masawi (tiga dari kiri) menyerahkan bantuan bakul makanan untuk KIR dikuarantin kepada wakil Ketua Kampung Long Pasia, Yakob Sim.