KOTA KINABALU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah berjaya menyalurkan sebanyak RM 1.005 billion kepada rakyat Sabah melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh Kerajaan.

Ketua Eksekutifnya, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ianya dalam bentuk bantuan serta insentif kewangan kepada majikan dan pekerja untuk kelangsungan operasi perniagaan, mengekalkan pekerja sedia ada dan mengambil pekerja baharu.

Katanya sehingga kini, PERKESO telah berjaya mengagihkan sebanyak RM14.6 bilion kepada para majikan dan pekerja di seluruh negara menerusi pelbagai inisiatif Kerajaan yang dilaksanakan oleh PERKESO.

Menurutnya, pada tahun ini sehingga 2 April, PERKESO telah berjaya menempatkan semula 46,971 individu ke alam pekerjaan, manakala jumlah kekosongan jawatan yang didaftarkan majikan pula telah menjangkau 457,753 kekosongan.

“Untuk Sabah, setakat 1 April 2021, pekerja aktif yang dilindungi ialah seramai 280,744 orang, manakala majikan aktif yang dilindungi ialah 33,893”, katanya.

Mohammed Azman memaklumkan perkara ini kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor semasa mengadakan kunjungan hormat di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), semalam.

Sementara itu, Hajiji bagi pihak Kerajaan Negeri menghargai peranan PERKESO dalam penyediaan Keselamatan Sosial untuk rakyat Sabah bagi perlindungan terhadap Bencana Kerja, Keilatan termasuk sebarang kematian dan peberian elaun Kehilangan Pekerjaan, insentif yuran latihan, mobiliti dan program penampatan pekerjaan.

“Faedah PERKESO adalah menjadi penggantian pendapatan bagi mereka yang hilang upaya, ilat, kematian, ataupun kehilangan pekerjaan”, katanya.

Turut hadir ialah Pengarah PERKESO Negeri, Dr.Mohd Ali Hindia dan Pengurus Cawangan Penguatkuasa PERKESO Negeri, Haji Abd Rahman Ramli dan Hj Awang Japar, Ketua Cawangan Perhubungan Awam dan Khidmat Pelanggan PERKESO Negeri.-pr/BNN

Hajiji menerima cenderamata daripada Dr.Mohammed.